JAIS siasat hantaran tular individu Islam lakukan ritual agama lain

Kenyataan JAIS mengenai dakwaan individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang rakamannya tular di media sosial

SHAH ALAM, 11 Oktober- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat hantaran tular berhubung tindakan individu yang dipercayai beragama Islam dan melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAIS menyiasat di bawah Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan pemujaan menyalahi hukum syarak.
  • JAIS belum mengesahkan rakaman berkaitan berlaku semasa Thaipusam di Batu Caves dan tidak menolak kemungkinan suntingan atau penggunaan kecerdasan buatan.
  • Fakta seperti lokasi dan bidang kuasa akan disiasat segera; isu akidah ditangani secara profesional, tegas, cepat dan adil.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang melibatkan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak dan menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Setakat ini, JAIS belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan itu dilakukan individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor seperti yang ditularkan.

“Kami juga tidak menolak kebarangkalian hantaran itu melibatkan suntingan superimpose atau kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan dengan itu, Datuk Mohd Shahzihan berkata beberapa fakta kes termasuk lokasi kejadian akan disiasat pihaknya secara lebih teliti dan kadar segera.

“Hal ini bagi mengenal pasti bidang kuasa JAIS untuk mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor dipandang serius dan setiap maklumat atau aduan akan disiasat dengan tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat serta adil,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.

Rakaman berkenaan turut dikaitkan dengan perlakuan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.

Dalam masa sama pada Sabtu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya mengambil maklum rakaman berkenaan dan akan mengambil tindakan bersama pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.