PDRM hargai peruntukan Belanjawan 2027, fokus keselamatan, kebajikan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik peruntukan RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta RM7.1 bilion bagi perolehan dan penyelenggaraan aset pasukan keselamatan menerusi Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan belanjawan memperkukuh agenda keselamatan, memodenkan aset pasukan keselamatan serta meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasa.
  • Pembinaan Kompleks Batalion 19 PGA di Cheras dan tiga balai polis baru meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan kecekapan perkhidmatan kepolisan.
  • Inisiatif teknologi termasuk pembangunan aplikasi AI oleh NSRC dan pemerkasaan sistem anti jenayah internet melindungi awam dan kanak-kanak.
  • Penekanan kebajikan melalui pembinaan kuarters, faedah ex-gratia, kenaikan pencen, KUP, elaun sukarelawan serta cuti bersalin dan penjagaan anak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara serta menjaga kebajikan anggota pasukan keselamatan.

“Peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh agenda keselamatan negara, memodenkan aset pasukan keselamatan dan meningkatan keupayaan operasi badan penguat kuasa bagi mendepani cabaran jenayah,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, pembinaan Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta tiga balai polis baharu di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak dijangka memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat.

“Pembangunan infrastruktur ini penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi terus dipertingkat, sekali gus membolehkan perkhidmatan kepolisan disampaikan dengan lebih cekap kepada masyarakat,” katanya.

Tan Sri Mohd Khalid berkata, peruntukan RM1.1 bilion bagi mempertingkat keupayaan operasi badan penguat kuasa turut penting dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus negara terus diperkasa.

Dalam menangani ancaman jenayah digital, PDRM turut mengalu-alukan pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta pemerkasaan sistem Malaysia Internet Crime Against Children oleh Bahagian D11 PDRM.

“Inisiatif berasaskan teknologi dan analitik lanjutan ini mampu memperkukuh usaha pencegahan awal penipuan dalam talian, selain meningkatkan perlindungan kanak-kanak daripada ancaman eksploitasi seksual,” katanya.

Dari aspek kebajikan, PDRM menghargai peruntukan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam, termasuk kuarters polis, demi kesejahteraan anggota serta keluarga mereka.

Selain itu, penambahbaikan faedah Ex-Gratia waris secara pukal sehingga RM50,000, kenaikan kadar pencen terendah kepada RM1,350 sebulan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada 12,000 pegawai Pengurusan dan Profesional, peningkatan elaun Sukarelawan Polis serta kemudahan cuti bersalin dan penjagaan anak turut mencerminkan perhatian kerajaan terhadap kebajikan warga penguat kuasa.

Beliau memberi jaminan PDRM akan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum melalui pengurusan yang cekap dan berintegriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.