
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Keberkesanan pakej bantuan RM160 juta untuk pekerja gig perlu dinilai berdasarkan sejauh mana inisiatif itu meningkatkan pendapatan bersih dan mengurangkan kos pekerjaan, bukan hanya jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan.
- Keberkesanan bantuan perlu diukur melalui peningkatan pendapatan bersih dan pengurangan kos operasi, bukan hanya jumlah peruntukan.
- Titik tumpu pada jurang antara pendapatan kasar dan bersih; kos seperti bahan api, penyelenggaraan, insurans dan ansuran menjejaskan keuntungan sebenar.
- Rangka kerja tambang munasabah, telus dan rundingan formula pendapatan minimum perlu dilaksanakan bagi menjamin perlindungan sosial dan pendapatan munasabah.
Presiden Majlis Ekonomi Gig (MyGiG) Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bantuan yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab itu merupakan usaha positif dalam membantu pemandu e-hailing serta penghantar p-hailing, namun kebajikan golongan berkenaan perlu ditangani secara lebih menyeluruh.
Pekerja gig berdepan pelbagai kos operasi termasuk bahan api, penyelenggaraan kenderaan, tayar, alat ganti, insurans dan ansuran kenderaan yang boleh mempengaruhi pendapatan sebenar mereka.
“Insentif dan bantuan kewangan memang dialu-alukan, tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya mekanisme untuk melindungi kebajikan pekerja gig.
“Ukuran kejayaan sesuatu pakej bantuan tidak seharusnya terhad kepada jumlah peruntukan atau bilangan penerima semata-mata, sebaliknya perlu melihat sejauh mana pendapatan bersih pekerja meningkat dan beban kos pekerjaan dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih perlu diberikan perhatian kerana jumlah bayaran yang diterima pekerja tidak semestinya menggambarkan keuntungan sebenar selepas mengambil kira kos operasi dan potongan berkaitan.
Selain itu, bantuan kewangan perlu disusuli penambahbaikan struktur tambang yang munasabah, telus dan adil supaya bayaran bagi setiap tugasan setimpal dengan masa, jarak perjalanan serta kos yang ditanggung pekerja.
Usaha Majlis Perundingan Gig untuk merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kebajikan pekerja gig lebih terjamin dalam jangka panjang.
Formula pendapatan minimum perlu mengambil kira jarak perjalanan, masa menunggu, tempoh pekerja berada dalam talian serta kos operasi sebenar, selain disokong data dan rundingan seimbang antara kerajaan, wakil pekerja serta pengendali platform.
“Pekerja gig bukan sekadar memerlukan peluang untuk bekerja, tetapi juga peluang memperoleh pendapatan bersih yang munasabah, bekerja dalam keadaan lebih terlindung dan membina kehidupan yang lebih terjamin,” katanya lagi.