30,000 peluang pekerjaan baharu menerusi Bakat MADANI

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baharu disasar disediakan menerusi inisiatif Bakat MADANI pada tahun 2027, termasuk melalui penglibatan syarikat swasta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potongan cukai diberikan kepada syarikat yang melaksanakan program latihan Bakat MADANI mulai 29 Jun 2026 hingga 31 Dis 2030.
  • Peruntukan RM8 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional rentas kementerian tingkatkan kemahiran serta kebolehpasaran belia.
  • HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran termasuk pembangunan profesional berterusan.
  • Peruntukan MITRA ditingkatkan kepada RM150 juta untuk membekalkan latihan dan pekerjaan kepada belia India dalam automasi, teknologi dan penyelenggaraan pesawat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bakat MADANI diluncurkan hasil komitmen enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), PETRONAS dan rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyediakan latihan serta peluang pekerjaan berkualiti kepada 25,000 anak muda.

“Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta, potongan cukai diberikan kepada syarikat yang melaksanakan program latihan Bakat MADANI mulai 29 Jun 2026 hingga 31 Disember 2030,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) rentas kementerian yang berjumlah RM8 bilion bertujuan meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran golongan muda.

“HRD Corp dengan dana RM3 bilion akan menawarkan tiga juta peluang latihan kemahiran, termasuk bagi tujuan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan golongan profesional,” katanya.

Selain itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih yang mengikuti program latihan kemahiran di institut latihan kemahiran awam dan swasta yang berdaftar dengan PTPK.

Kolej Komuniti pula akan terus menawarkan kursus pendek kepada anak tahfiz sebagai laluan ke pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi.

“Anggota Lain-lain Pangkat ATM yang tamat perkhidmatan dibekalkan dengan latihan kemahiran melalui kerjasama antaranya Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dan Akademi Laut Malaysia.

“Selain itu, MARA melatih serta menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi, manakala kemahiran pelatih pendawaian elektrik GIATMARA akan dimanfaat bagi membaik pulih pendawaian 20 ribu rumah keluarga miskin,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, CIDB pula melatih 10,000 belia dalam teknologi robotik dan digital bagi membuka kerjaya serta mengurangkan kebergantungan buruh asing.

“Manakala ADTEC JTM membuka laluan kerjaya automotif berkemahiran tinggi kepada graduan menerusi Program Advanced Automotive Technology,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan bakat muda kaum India.

“Oleh itu, peruntukan kepada agensi MITRA akan ditingkatkan kepada RM150 juta dengan keutamaan untuk membekalkan latihan serta pekerjaan kepada belia India, meliputi bidang seperti automasi industri, teknologi dan penyelenggaraan pesawat,” kata Datuk Seri Anwar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.