Pulau Balabac : Malaysia perkukuh pertahanan Sabah

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Malaysia terus memperkukuh penyelarasan aset dan maklumat pertahanan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan Sabah terus terpelihara susulan peningkatan keupayaan ketenteraan Filipina di Pulau Balabac.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan antara agensi keselamatan diperkuat bagi mengenal pasti dan menanggani ancaman terhadap kawasan kepulauan Sabah.
  • Angkatan tentera bersama mengkoordinasikan aset dan maklumat untuk mengatasi ancaman tradisional serta bukan tradisional.
  • Kerjasama dengan MKN dan Majlis Keselamatan Wilayah Sabah dipertingkatkan, dan keselamatan negara melibatkan tanggungjawab semua rakyat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyelarasan antara agensi keselamatan turut diperkukuh bagi memastikan sebarang ancaman terhadap kawasan kepulauan Sabah dapat dikenal pasti dan ditangani secara menyeluruh.

Beliau berkata, cabaran keselamatan di sempadan Sabah bukan hanya melibatkan aspek ketenteraan, malah turut merangkumi ancaman bukan tradisional.

“Kita ada angkatan tentera bersama yang mengkoordinasikan semua aset dan maklumat untuk memastikan keselamatan kita di Sabah serta ancaman, sama ada secara tradisional ataupun bukan tradisional, sentiasa dapat kita atasi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sik di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata penyelarasan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Keselamatan Wilayah Sabah turut diberi perhatian, khususnya di kawasan seperti Pulau Banggi.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan semua pihak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai ancaman keselamatan di kawasan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Penampang, beliau berkata, usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab anggota keselamatan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat.

“Rakyat keseluruhannya di Sabah, termasuk di kawasan-kawasan kepulauan itu, tahu apa yang mereka lakukan, apa kesan dan ancamannya kepada Sabah dan kepada Malaysia secara keseluruhan.

“Dalam Kertas Putih Pertahanan Negara kita, keselamatan negara kita melibatkan seluruh warga negara. Semua bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Perkembangan di Pulau Balabac sebelum ini mendapat perhatian Malaysia berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan Sabah.

Kementerian Pertahanan turut memaklumkan bahawa perkembangan pertahanan dan peningkatan aktiviti ketenteraan negara asing sentiasa dipantau serta dinilai dari sudut implikasinya terhadap keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.