Sembilan individu di sekolah vokasional cedera ditikam

Lokasi kejadian serangan menggunakan pisau di sebuah sekolah vokasional di bandar Ostroleka, kira-kira 120 km di utara Warsaw/ AFP

WARSAWA, 8 Oktober – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun menikam sembilan individu menggunakan pisau di sebuah sekolah vokasional di Ostroleka, utara Poland pada Rabu, menyebabkan pelajar, guru dan orang awam cedera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menahan remaja itu kira-kira 20 minit selepas serangan, tidak jauh dari lokasi sekolah.
  • Lima pelajar, dua guru dan dua orang awam cedera; tiada mangsa berada dalam keadaan mengancam nyawa.
  • Suspek dibenarkan keluar hospital dan kini dalam tahanan polis; polis sahkan suspek warga Poland, menangkis spekulasi media sosial.

Polis menahan remaja itu selepas kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah di Ostroleka, kira-kira 120 kilometer dari Warsaw.

Polis turut mengeluarkan gambar remaja berkenaan yang telah dikaburkan selepas penahanannya.

Pegawai tertinggi wilayah berkenaan, Mariusz Frankowski, berkata lima pelajar, dua guru dan dua orang awam cedera dalam kejadian itu.

“Tiada seorang pun daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan berisiko membahayakan nyawa,” kata jurucakap polis Ostroleka, Mariusz Zeranski.

Sementara itu, Elzbieta Lukasiewicz dari Pejabat Pendakwa Raya Ostroleka berkata, suspek memasuki sekolah berkenaan sebelum menyerang pelajar dan guru menggunakan senjata berbahaya.

Remaja itu ditahan polis kira-kira 20 minit selepas serangan, tidak jauh dari lokasi sekolah.

Pejabat pendakwa raya memaklumkan suspek turut menerima rawatan daripada pasukan kecemasan selepas mencederakan dirinya sendiri.

Suspek kini dibenarkan keluar dari hospital dan berada dalam tahanan polis. Pasukan pemusnah bom turut mengambil sebuah beg yang ditinggalkan suspek di sekolah berkenaan.

Sekolah itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Kejadian berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas seorang paderi ditikam oleh seorang lelaki warga Ukraine di sebuah biara di wilayah Poland yang terletak berhampiran sempadan Ukraine.

Pada Rabu, media sosial sekali lagi dibanjiri khabar angin yang mendakwa penyerang dalam kejadian terbaharu itu merupakan warga Ukraine.

Bagaimanapun, Frankowski mengesahkan suspek merupakan warga Poland sekali gus menangkis spekulasi mengenai kewarganegaraan remaja tersebut.

Poland yang merupakan sekutu rapat Ukraine kini menempatkan kira-kira 1.5 juta warga Ukraine, termasuk pelarian yang melarikan diri dari Rusia pada 2022.

Sejak konflik pada 2022, Poland turut menjadi hab utama bagi penghantaran bantuan ketenteraan dan kemanusiaan dari Barat ke Kiev.

Bagaimanapun, sokongan awam terhadap pelarian di Poland merosot dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, susulan ketegangan diplomatik yang masih belum diselesaikan antara Warsaw dan Kiev.

Pertikaian berhubung pembunuhan orang awam yang dilakukan kedua-dua pihak ketika Perang Dunia Kedua turut kembali menjadi perhatian pada awal tahun ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.