
PARIS, 7 Oktober – Kejuaraan MotoGP bakal tampil dengan format baharu bermula musim 2027 dengan penganjur memperkenalkan sesi kelayakan khas bagi perlumbaan Sprint.
- Perlumbaan Sprint dan Grand Prix akan mempunyai sesi kelayakan serta grid permulaan berasingan pada setiap pusingan.
- Perubahan ini sebahagian daripada penampilan baharu sukan, selari dengan pengenalan motosikal dan peraturan teknikal baru.
- Persaingan gelaran semakin sengit; Jorge Martin kini mendahului Marc Marquez dengan kelebihan dua mata.
Kejuaraan tersebut akan menyaksikan perlumbaan Sprint dan Grand Prix (GP) mempunyai sesi kelayakan serta grid permulaan masing-masing.
Sejak diperkenalkan pada 2023, kedudukan grid bagi perlumbaan tersebut ditentukan menerusi sesi kelayakan utama yang turut menentukan petak permulaan bagi perlumbaan GP.
Di bawah format baharu itu, perlumbaan Sprint yang berlangsung pada Sabtu tidak lagi berkongsi grid permulaan dengan perlumbaan utama GP pada Ahad.
Sebaliknya, Kedua-dua perlumbaan tersebut akan mempunyai sesi kelayakan dan susunan petak permulaan masing-masing.
Menurut kenyataan MotoGP, perubahan itu merupakan sebahagian daripada penampilan baharu kejuaraan berkenaan, selari dengan pengenalan motosikal serta peraturan teknikal baharu pada musim depan.
“Seiring dengan motosikal dan peraturan teknikal baharu, sukan ini memperkenalkan format baharu pada tahun depan dengan sesi kelayakan bagi MotoGP Sprint, sekali gus mewujudkan grid berasingan untuk perlumbaan Sprint dan Grand Prix pada setiap pusingan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, perebutan gelaran dunia musim ini semakin sengit apabila pelumba Sepanyol, Jorge Martin, kini mendahului juara bertahan dan rakan senegaranya, Marc Marquez, dengan kelebihan hanya dua mata.
Kedua-dua pelumba ini dijadualkan meneruskan persaingan sengit mereka untuk Grand Prix Indonesia.- AFP