KKR perlu RM6 bilion selenggara Jalan Persekutuan


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan/Foto Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion bagi menampung keperluan penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan penyelenggaraan perlu mencukupi untuk mengekalkan kualiti dan tahap keselamatan rangkaian Jalan Persekutuan.
  • KKR memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan dalam bajet akan datang bagi menampung keperluan penyelenggaraan.
  • Pendekatan penyelenggaraan diperkemas melalui Pavement Condition Assessment untuk menilai keadaan sebelum menentukan kerja penyelenggaraan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, peruntukan mencukupi penting bagi memastikan kualiti dan tahap keselamatan jalan raya terus berada pada tahap optimum.

“Pada tahun 2026 kita baru dapat RM3.18 bilion, yang mana di Semenanjung RM2.08 bilion, Sabah RM640 juta, Sarawak RM461 juta. Sedangkan keperluan kita adalah RM5 hingga RM6 bilion.

“Oleh itu, kita memohon daripada Kementerian Kewangan dalam bajet yang akan datang ini supaya berikanlah peruntukannya secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.

Ahmad berkata keperluan itu meliputi penyelenggaraan rangkaian Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, termasuk kerja penyelenggaraan berkala.

Katanya, pendekatan penyelenggaraan turut diperkemas menerusi Pavement Condition Assessment (PCA) bagi menilai keadaan serta tahap kebolehgunaan jalan sebelum kerja penyelenggaraan ditentukan.

Menurutnya, peruntukan penyelenggaraan yang mencukupi, disokong penilaian keadaan jalan secara berkala, penting bagi memastikan rangkaian Jalan Persekutuan terus selamat, berkualiti dan berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.