
BANDARAYA MELAKA, 7 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
- Penamaan calon pada 31 Oktober; pengundian awal ditetapkan pada 10 November.
- Writ pilihan raya dikeluarkan selepas keputusan beberapa tarikh penting PRN.
- Mesyuarat khas diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 23 September.
- Seramai 687,697 pemilih layak termasuk pengundi biasa, anggota tentera dan polis.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November.
“Writ pilihan raya dikeluarkan hari ini selepas tarikh-tarikh penting berkenaan diputuskan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka, di sini.
Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
Sebelum ini, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berhubung pembubaran DUN Melaka Ke-15 yang berkuat kuasa pada 23 September.
Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN berkenaan.
Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.