
SAUDARA PENGARANG
- Sinergi pensyarah dan pentadbir memastikan fungsi akademik dan operasi seiring untuk kecemerlangan dan kesejahteraan institusi.
- Komunikasi terbuka dan empati mengurangkan salah faham, birokrasi, serta tekanan kerja dalam kalangan warga universiti.
- Pentadbir proaktif memudahkan penyelidikan, dana dan logistik manakala pensyarah mematuhi prosedur bagi perkhidmatan pelajar lebih berkesan.
- Kepimpinan mesti sediakan ruang dialog, pembinaan pasukan, dan saluran telus untuk membina kepercayaan serta melaksanakan transformasi akademik dan pentadbiran.
Setiap tahun pada 20 Ogos, lanskap pendidikan tinggi di Malaysia meraikan Hari Pentadbir Universiti bagi menghargai komitmen, dedikasi, serta sumbangan tidak terhingga kumpulan pelaksana dan pengurusan yang menjadi nadi penggerak sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).
Di sebalik kemegahan sesebuah universiti yang kerap diukur menerusi pencapaian penyelidikan, carta penarafan antarabangsa, serta kelulusan ribuan graduan saban tahun, wujud sebuah ekosistem kompleks yang memerlukan sinergi utuh antara dua komponen utama, iaitu warga akademik dan barisan pentadbir.
Perhubungan yang harmoni dan saling melengkapi antara pensyarah dengan pentadbir bukan sekadar suatu tuntutan profesionalisme, malah menjadi prasyarat mutlak dalam menjamin kesejahteraan, keharmonian, serta kebitaraan universiti secara menyeluruh.
Universiti pada hakikatnya ialah sebuah organisasi yang mempunyai dua fungsi yang saling bergantungan. Di satu sisi, pensyarah bertindak sebagai peneraju gedung ilmu, pencetus gagasan baharu, serta pemformat modal insan negara menerusi aktiviti pengajaran, penyelidikan, dan perkhidmatan komuniti.
Di sisi yang lain, pentadbir yang merangkumi pegawai tadbir, staf sokongan teknikal, kewangan, sumber manusia, serta hal ehwal pelajar yang berperanan sebagai pengurus operasi dan pemudah cara yang memastikan segala perancangan strategik serta dasar universiti dapat diterjemahkan kepada realiti.
Tanpa sokongan pentadbiran yang cekap dan mantap, wawasan akademik yang bersifat futuristik akan terkandas di tengah jalan. Sebaliknya, tanpa kefahaman akademik yang mendalam daripada barisan pentadbir, usaha menyediakan perkhidmatan sokongan yang berkesan mungkin sukar dicapai.
Oleh itu, kedua-dua pihak merupakan dua sayap daripada seekor burung yang sama; sekiranya salah satu sayap lemah atau tercedera, penerbangan universiti menuju kecemerlangan pasti terganggu.
Sering kali dalam konteks dinamika IPT, timbul cabaran dari sudut persepsi, jurang komunikasi, mahupun perbezaan keutamaan kerja antara pensyarah dan pentadbir.
Pensyarah kerap berhadapan dengan tekanan beban tugas yang merangkumi Indeks Prestasi Utama (KPI) penerbitan, penyeliaan pelajar, dan pencarian dana penyelidikan, yang mana kadangkala menyebabkan mereka menganggap prosedur pentadbiran sebagai satu bentuk kekangan birokrasi yang melecehkan.
Manakala di pihak pentadbir pula, mereka memikul tanggungjawab memastikan setiap tindakan dan keputusan mematuhi tadbir urus yang betul, akta, serta peraturan kewangan negara demi mengelakkan sebarang ketidakcekapan atau salah guna kuasa.
Apabila wujud kepincangan dalam komunikasi dan kurangnya sifat empati terhadap skop tugas masing-masing, salah faham mudah tercetus, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang kurang sihat.
Justeru, memelihara dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua entiti ini menjadi teras kepada kesejahteraan sesebuah universiti. Kebajikan dan kesejahteraan emosi warga universiti amat bergantung kepada keharmonian persekitaran kerja.
Apabila pensyarah dan pentadbir membina budaya saling menghormati dan terbuka untuk berdialog, kerenah birokrasi dapat dikurangkan melalui pendekatan pengurusan yang lebih mesra pengguna dan berkesan.
Pentadbir yang proaktif dan berjiwa pemudah cara akan sentiasa mencari jalan untuk membantu pensyarah mendapatkan dana, menguruskan logistik penyelidikan, serta melancarkan proses pengajaran.
Pada masa yang sama, pensyarah yang prihatin dan menghormati tugas pentadbiran akan sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta menghargai titik peluh staf sokongan.
Hasil daripada kerjasama yang erat ini ialah pengurangan tahap tekanan kerja (burnout) dalam kalangan warga kerja, sekali gus menyumbang kepada persekitaran kerja yang positif dan kondusif.
Impak daripada perhubungan yang mantap ini tidak hanya terhenti pada tahap kebajikan staf sahaja, sebaliknya memberikan kesan limpahan yang amat besar terhadap pengalaman dan kejayaan para pelajar.
Pelajar merupakan pemegang taruh paling utama di universiti. Apabila pentadbir dan pensyarah bergerak seirama sebagai satu pasukan, pengurusan hal ehwal pelajar daripada urusan pendaftaran, kolej kediaman, bantuan kewangan, sehinggalah kepada aktiviti persatuan dan kebajikan, akan dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan.
Kecekapan operasi pentadbiran membolehkan pensyarah memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian pengajaran yang berkualiti serta bimbingan akademik yang mendalam.
Kebajikan pelajar yang terpelihara secara menyeluruh ini akhirnya akan melahirkan graduan yang beraspirasi tinggi, berdaya saing, serta seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Selain itu, dalam era transformasi digital dan cabaran pasca-pandemik yang menuntut kebolehan beradaptasi secara pantas, universiti memerlukan tadbir urus yang lincah dan berdaya tahan.
Perubahan dasar pendidikan tinggi, tuntutan kebolehpasaran graduan, serta integrasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) memerlukan pensyarah dan pentadbir duduk bersama untuk merangka strategi baharu.
Kerjasama rentas fungsi ini membolehkan inovasi pentadbiran dilaksanakan selari dengan keperluan pengajaran dan penyelidikan moden.
Apabila wujud kepercayaan mutual, sebarang perubahan dasar dapat dilaksanakan dengan licin tanpa penentangan yang tidak sepatutnya, sekali gus meletakkan universiti pada kedudukan yang lebih kukuh di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sempena sambutan Hari Pentadbir Universiti kal ini, amat wajar untuk seluruh warga IPT merenung kembali kepentingan mengukuhkan jambatan persaudaraan dan profesionalisme antara pentadbir dan pensyarah.
Pihak kepimpinan universiti perlulah terus mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan, program pembinaan pasukan secara bersama, serta saluran komunikasi yang ikhlas dan telus.
Usaha mengikis stigma atau pandangan serong antara satu sama lain perlu dijadikan agenda berterusan demi memupuk rasa kepunyaan terhadap institusi.
Kesimpulannya, kecemerlangan dan kesejahteraan universiti tidak mampu dicapai secara bersendirian oleh mana-mana pihak. Pensyarah dan pentadbir ialah rakan strategik yang memikul amanah sama untuk memartabatkan institusi pendidikan tinggi negara.
Apabila kedua-dua entiti ini saling menghormati, bekerjasama, dan melengkapi antara satu sama lain, universiti bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sebuah pusat keilmuan yang unggul, malah menjadi sebuah tempat kerja dan persekitaran pembelajaran yang sejahtera, harmoni, dan membanggakan seluruh warganya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Luqman Mahmud
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Universiti Utara Malaysia
E-mel: luqman.mahmud@uum.edu.my