
LUMUT, 3 Oktober – Seorang kru warga Thailand yang dilapor hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika sebuah kapal nelayan tempatan keluar dari Jeti Nelayan Pantai Remis pada Khamis lalu ditemukan selamat, hari ini.
- Mangsa dipercayai berenang ke daratan dan mendapatkan bantuan orang awam sekitar 11.35 pagi.
- Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menerima aduan kehilangan kira-kira 10.50 malam Khamis lalu.
- MRSC Langkawi mengatur gerak tiga aset maritim ke lokasi terakhir mangsa dilaporkan.
- Operasi CARILAMAT dijalankan sekitar perairan Pulau Talang dengan bantuan kapal berhampiran dan mangsa diserahkan kepada pemilik kapal.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten (M) Mohamad Shukri Khotob berkata, mangsa, Sunthorn, 51 tahun, dipercayai berenang ke daratan sebelum mendapatkan bantuan orang awam kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.
Menurutnya, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menerima aduan mengenai kehilangan kru berkenaan kira-kira pukul 10.50 malam Khamis lalu.
Susulan laporan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi selaku pusat penyelaras mengatur gerak tiga aset maritimnya ke lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kemudian dilaksana di sekitar perairan Pulau Talang dengan bantuan kapal yang berada berhampiran sektor pencarian.
Mangsa telah diserahkan kepada pemilik kapal untuk tindakan selanjutnya.