KLSSF 2026 satukan seni, warisan dan STEM di KLCC

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Kuala Lumpur Seni & STEM Festival 2026 (KLSSF 2026) edisi kedua membuka tirainya secara rasmi di KLCC Esplanade, menghimpunkan elemen seni, warisan, sains dan teknologi dalam satu festival.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bertemakan “Di Mana Seni, Warisan dan Sains Bersatu”, festival percuma anjuran Petrosains dan DFP, berlangsung 2–4 Oktober, 10.00–22.00.
  • Festival selari dengan aspirasi Pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, mengetengahkan masyarakat, warisan, kreativiti dan budaya.
  • Petrosains memberi fokus pada kecerdasan buatan, inovasi dan teknologi masa depan untuk menarik golongan muda meneroka AI sebagai alat kreativiti dan pembelajaran.
  • Pengunjung berpeluang pengalaman hands-on STEM, demonstrasi sains, robotik serta persembahan kebudayaan dan permainan alat muzik tradisional.

Bertemakan “Di Mana Seni, Warisan dan Sains Bersatu”, festival yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu dianjurkan secara percuma oleh Petrosains dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), dari  pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata, penganjuran KLSSF 2026 amat relevan dan bertepatan dengan aspirasi pelancongan negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga 2027.

“Cadangan pelancongan kita bukan hanya terhad kepada mercu tanda ikonik, pulau yang indah, kepelbagaian makanan dan tarikan alam semula jadi yang kaya, tetapi juga berkaitan dengan masyarakat, warisan, kreativiti, budaya dan idea kita.

“Oleh itu, KLSSF menyediakan platform yang sangat baik untuk menghimpunkan semua dimensi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, penganjuran festival tahun ini memberi tumpuan lebih kepada kecerdasan buatan (AI), inovasi dan teknologi masa hadapan.

Katanya, KLSSF menyediakan pengalaman yang mudah diakses dan menarik kepada golongan muda untuk meneroka AI, mengemukakan soalan serta memahami dengan lebih baik bagaimana teknologi baharu boleh dimanfaatkan sebagai alat kreativiti, pembelajaran dan penyelesaian masalah.

Beliau berkata, pendedahan terhadap aktiviti berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) penting dalam membantu generasi muda memahami aplikasi ilmu yang dipelajari dalam kehidupan sebenar.

“Dengan membawa mereka keluar ke dunia sebenar, ia membolehkan mereka mengaitkan teori yang dipelajari di dalam kelas dan melihat bagaimana ia diaplikasikan dalam dunia sebenar.

“Itu adalah pengalaman yang sangat berharga kerana pembelajaran tidak berakhir di dalam bilik darjah, sebaliknya berkaitan dengan aplikasi, khususnya pada masa kini,” katanya.

Selain demonstrasi sains, inovasi dan robotik, pengunjung turut disajikan pelbagai persembahan kebudayaan dan warisan Malaysia, termasuk permainan alat muzik tradisional serta aktiviti berkaitan seni warisan.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan KLSSF 2026 di KLCC Esplanade bagi merasai sendiri pengalaman yang menggabungkan kesenian, warisan kebudayaan dan sains dalam satu festival.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.