Warga RTM perlu bantu masyarakat tangani cabaran era AI

Foto RTM

KUANTAN, 2 Oktober – Penyampai, pengacara, wartawan dan pencipta kandungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu terus memainkan peranan membantu masyarakat mendapatkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi, khususnya dalam mendepani cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyampai, hos dan pencipta kandungan sebagai penghubung antara masyarakat dan pihak berkepentingan.
  • Mengetengahkan isu semasa serta menyuarakan keperluan dan harapan rakyat.
  • Membantu mempercepatkan usaha mencari penyelesaian walaupun tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya.
  • Memperkukuh peranan RTM dalam pendigitalan bagi memastikan organisasi kekal relevan.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, golongan berkenaan perlu menjadi penghubung antara masyarakat dengan pihak berkepentingan, selain mengetengahkan isu semasa serta menyuarakan keperluan rakyat.

“Peranan kita sebagai penyampai, hos, wartawan dan pencipta kandungan ini secara umum adalah untuk pastikan kita dapat membantu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah orang. Kalau tidak dapat menyelesaikan masalah mereka sepenuhnya, kita membantu mempercepatkan usaha mencari penyelesaian,”katanya ketika ditemui selepas menyertai segmen Temu Bual Eksklusif Bersama Ketua Pengarah Penyiaran di konti Pahang FM, dalam kunjungannya ke Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad, Kuantan, hari ini.

Sesi berkenaan turut membincangkan hala tuju RTM dalam mendepani era pendigitalan, termasuk usaha memperkukuh peranannya sebagai organisasi penyiaran yang terus relevan seiring perubahan landskap media.

Dalam kunjungan itu, Datuk Ashwad turut beramah mesra bersama warga Jabatan Penyiaran Pahang serta menyertai sesi rakaman Vodcast ‘Let’s Go’.

Jabatan Penyiaran Pahang kini mempunyai 70 pegawai tetap, 14 pegawai lantikan Contract of Service (COS) dan seorang pegawai berstatus piecemeal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.