Dua ‘transporter’ ganja ditahan, 58.1 kg dadah dirampas di Maran

Foto Polis Pahang

MARAN, 2 Oktober – Polis Pahang merampas 58.1 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai kira-kira RM174,000 dalam serbuan di hadapan sebuah inap desa di daerah Maran, awal pagi Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki ditahan ketika mengalihkan empat beg; pemeriksaan menemui 56 bungkus mampatan berisi daun kering disyaki ganja.
  • Suspek dipercayai penghantar menerima bayaran RM10,000 untuk hantar bekalan; mempunyai rekod lampau dan positif methamphetamine pada saringan air kencing.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Serbuan kira-kira 1.20 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Maran itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika mengalihkan empat beg dari bonet sebuah kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pemeriksaan terhadap empat beg berkenaan menemukan 56 bungkusan mampatan berisi daun kering kehijauan disyaki ganja.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan menerima arahan untuk menghantar bekalan dadah ke lokasi yang mempunyai permintaan.

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima bayaran RM10,000 bagi menghantar bekalan berkenaan ke daerah Maran,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau, manakala suspek kedua mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah lain.

Kedua-dua suspek turut didapati positif methamphetamine menerusi saringan awal air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka direman selama tujuh hari sehingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Polis Pahang turut melaksanakan Op Hawk di seluruh negeri dari 28 hingga 30 September lalu.

Operasi khas itu membawa kepada penahanan 365 individu, membabitkan 79 tangkapan berkaitan bekalan dadah, 90 kerana memiliki dadah, 191 kes positif saringan air kencing dan lima tindakan pencegahan khas.

Keseluruhan rampasan dadah sepanjang operasi berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM221,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.