
JOHOR BAHRU, 2 Oktober – Seramai 1,346 pemandu warga asing dikenakan tindakan melibatkan 4,565 kesalahan menerusi Op Khas Gempur Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sejak 1 Jun lalu hingga kini.
- Kesalahan paling tinggi ialah tiada CDL atau lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
- Sebanyak 454 kenderaan disita, kira-kira 75 peratus milik warga asing; pemilikan tidak rasmi menyukarkan tindakan terhadap pemilik asal.
- Operasi dilaksanakan secara strategik bersama PDRM, Imigresen dan pihak berkuasa tempatan; JPJ keluarkan pelbagai notis dan perintah larangan.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, warga Pakistan mencatat jumlah tertinggi yang dikenakan tindakan iaitu 447 orang, diikuti Bangladesh (251), Singapura (223), Indonesia (180) dan Myanmar (150).
“Daripada kesalahan yang kita kesan, antara kesalahan paling tinggi, saya ambil tiga. Tiada CDL atau lesen memandu menyumbang kepada 788 kes.
“Kedua melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh berjumlah 693 kes, seterusnya tiada perlindungan insurans sebanyak 528 kes,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau pelaksanaan operasi berkenaan di Bangunan JPJ Negeri Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, antara kesalahan lain yang turut dikesan ialah tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar dan tidak mematuhi lampu isyarat.
Beliau turut mendedahkan, sebahagian pesalah dikenal pasti sebagai pesalah berulang dan bekerja antaranya sebagai buruh kontrak, pekerja kilang, pekerja pembersihan serta pemotong rumput.
Dalam pada itu, sebanyak 454 kenderaan termasuk 347 motosikal dan 69 kereta disita hasil pemeriksaan ke atas 10,580 kenderaan, sepanjang operasi berkenaan.
Kira-kira 75 peratus daripada kenderaan yang disita dimiliki individu warga asing.
“Kebanyakan kenderaan berkenaan bertukar tangan secara tidak rasmi apabila pemilik terdahulu yang pulang ke negara asal menjualnya kepada warga asing lain.
“Keadaan itu menyukarkan tindakan terhadap pemilik asal kerana kenderaan terbabit telah bertukar pemilikan beberapa kali sebelum disita,” jelasnya.
JPJ Johor turut mengeluarkan 3,072 notis JPJ(P)22, selain 236 notis arahan pemeriksaan dan 31 notis larangan penggunaan kenderaan.
Kesemua kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Op Khas Gempur PeWA itu dilaksanakan secara strategik di lokasi tumpuan di seluruh negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).