
KUALA LUMPUR, 30 September – Pembayar zakat dan orang awam bakal menikmati akses lebih jelas terhadap maklumat agihan dana agama menerusi Peluncuran Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf yang dijadual berlangsung esok, 1 Oktober.
- JANM menggubal Piawaian Perakaunan Islam untuk menyelaraskan dan memperincikan pelaporan kewangan Baitulmal, zakat dan wakaf.
- Ketelusan pelaporan tahunan penting untuk memberi gambaran jelas kepada orang awam mengenai pengurusan dana amanah.
- Laporan lebih terperinci diharap mengikis syak wasangka, meredakan pertikaian serta memudahkan penilaian prestasi institusi berkaitan.
Akauntan Negara, Nasran Omar berkata, piawaian baharu itu membolehkan pelaporan kewangan institusi berkaitan diseragamkan dan diperincikan, sekali gus memudahkan masyarakat menilai pengurusan dana amanah.
Menurut beliau, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) menggubal piawaian berkenaan bagi menyelaraskan pelaporan kewangan antara institusi Baitulmal, zakat dan wakaf.
“Objektif penggubalan piawaian ini adalah untuk menyelaraskan pelaporan kewangan antara institusi Baitulmal, zakat dan wakaf.
“Dengan peluncuran ini, kita mengharapkan institusi Baitulmal, zakat dan wakaf dapat menggunakan piawaian ini dalam menyediakan pelaporan kewangan tahunan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, hari ini.
Beliau berkata, ketelusan dalam pelaporan kewangan tahunan penting bagi membolehkan orang awam mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pengurusan dana yang diamanahkan.
Katanya, penyediaan laporan kewangan secara lebih terperinci juga dapat membantu mengikis syak wasangka serta meredakan pertikaian berkaitan pengurusan dan agihan dana agama.
Peluncuran Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf dijadual berlangsung esok, dengan JANM berharap piawaian berkenaan dapat diguna pakai sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri, Lembaga Zakat dan institusi wakaf.