
PUTRAJAYA, 29 September – Budaya syura dan adab perlu diperkukuh dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh masyarakat bagi memastikan perbezaan pandangan tidak bertukar menjadi permusuhan.
- Urus perbezaan pandangan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat, bukan keseragaman, untuk mengekalkan kekuatan masyarakat.
- Jangan jadikan kebebasan bersuara alasan menghina atau menuduh; elakkan fitnah dan membuka aib.
- Galakkan budaya mendengar, meneliti dan pengajian turath serta rujukan ulama muktabar dalam pembentukan fahaman.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, kekuatan masyarakat bukan terletak pada keseragaman pandangan, sebaliknya keupayaan mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat.
Dalam titah pada Mesyuarat MKI Ke-75, baginda menyifatkan syura sebagai ruang untuk bertukar pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat, manakala adab memastikan perbezaan diurus secara tertib dan bijaksana.
Baginda turut menegaskan kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan pihak lain, manakala perbezaan pendapat tidak wajar membawa kepada tuduhan atau fitnah.
“Dalam bermesyuarah kita hendaklah mencerminkan adab, berkata benar berasaskan ilmu dan fakta, bertutur dengan tertib lagi bersopan, menghormati pandangan yang berbeza serta memberikan ruang kepada mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan,” titah baginda.
Sultan Nazrin pada masa sama menzahirkan kebimbangan terhadap krisis adab dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam, termasuk penyebaran berita yang belum disahihkan serta perbuatan membuka aib.
Sehubungan itu, baginda menyeru masyarakat membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan syura dan adab dalam pembentukan kefahaman umat Islam.
Beliau berkata titah Sultan Nazrin wajar dihayati rakyat, khususnya umat Islam, kerana musyawarah bukan sekadar membawa maksud demokrasi, tetapi turut merangkumi rundingan, kesabaran, kebijaksanaan dan pematuhan kepada undang-undang sebelum akhirnya bertawakal kepada Allah SWT.
“Pendidikan itu juga adab. Rundingan, mendidik, belajar dan hubungan satu sama lain, semuanya berkait dengan adab,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru supaya khazanah turath atau legasi keilmuan Islam terus digali dan dipelajari secara mendalam.
Katanya, rujukan kepada al-Quran dan hadis perlu disertai tafsir, ta’wil serta kupasan ulama muktabar dan tidak hanya bergantung kepada tafsiran semasa.
Beliau turut menggesa supaya majlis ilmu diperbanyakkan dan pengajian turath terus diberi perhatian.
Sultan Nazrin turut berharap MKI menjadi contoh badan yang menghidupkan syura sebagai budaya serta menjadikan adab sebagai keperibadian dalam setiap perbincangan dan keputusan.