
SEPANG, 29 September – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bersedia memastikan kelancaran pertunjukan udara bersempena perlumbaan Formula One (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), termasuk penerbangan rendah pesawat Gulf Air pada 4 Oktober ini.
- Pertunjukan udara dijadual antara 2.45 petang hingga 3.00 petang pada hari perlumbaan; raptai diadakan esok.
- CAAM telah menyelaraskan operasi dengan pusat kawalan dan menara kawalan KLIA untuk memastikan gangguan terhadap trafik udara minimum.
- CAAM sedia mengendalikan penerbangan tambahan bagi membawa logistik pasukan F1; jumlah trafik dijangka kekal seperti biasa.
- CAAM memantau jerebu, menerima laporan meteorologi automatik; pengawal mesti maklumkan juruterbang jika jarak penglihatan kurang 2,000 meter.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Navigasi Udara) CAAM, Zainul Abidin Maslan berkata, penerbangan rendah itu telah diselaraskan dengan pasukan CAAM, termasuk pusat kawalan dan menara kawalan KLIA, bagi memastikan gangguan terhadap trafik udara pada hari perlumbaan berada pada tahap minimum.
“Pesawat Gulf Air akan melakukan penerbangan rendah ketika perlumbaan bermula. Perkara itu sudah diselaraskan dengan pasukan kami, termasuk pusat kawalan dan menara kawalan KLIA.
“Ia akan menyebabkan gangguan yang sangat minimum terhadap trafik udara. Kami juga bersedia mengendalikan operasi seumpama itu pada hari perlumbaan,” katanya pada sesi soal jawab Program Literasi Media CAAM-Media, di sini.
Turut hadir Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.
Pertunjukan udara berkenaan dijadual berlangsung antara 2.45 petang hingga 3.00 petang pada hari perlumbaan, manakala raptai akan diadakan esok.
Zainul Abidin berkata, CAAM turut bersedia mengendalikan beberapa penerbangan tambahan yang membawa logistik pasukan F1 ke Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah trafik udara pada hari perlumbaan dijangka kekal seperti biasa, dengan hanya beberapa penerbangan tambahan bagi membawa logistik pasukan yang menyertai perlumbaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata CAAM turut memantau keadaan jerebu bagi memastikan maklumat berkaitan cuaca dan jarak penglihatan dapat disalurkan kepada pengawal trafik udara serta juruterbang.
Katanya, CAAM menerima laporan meteorologi secara berkala daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, dengan sebahagian besar maklumat disalurkan secara automatik melalui sistem sensor ke menara kawalan dan pusat kawalan.
“Apabila pengawal trafik udara menerima laporan ini, terdapat kriteria tertentu iaitu sekiranya jarak penglihatan jatuh di bawah 2,000 meter, pengawal perlu memaklumkan kepada juruterbang,” katanya.