
KUALA LUMPUR, 29 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan prestasi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, susulan tawaran peletakan jawatan yang dibuat pemimpin DAP itu.
- Perdana Menteri akan berbincang dengan Anthony Loke berhubung tawaran peletakan jawatan.
- Anwar mempersoalkan sebab gesaan letak jawatan, bertanya ada isu rasuah, rompakan atau sakau atau tidak.
- Beliau mahu tumpuan pada isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta nilaikan prestasi menteri berdasarkan tugas.
- Loke menawarkan peletakan jawatan susulan pendirian DAP mengenai pengampunan bersyarat Najib; beliau akan serah surat selepas pulang dari China.
Datuk Seri Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Loke mengenai perkara berkenaan, selain mempersoalkan alasan di sebalik gesaan supaya menteri itu meletakkan jawatan.
“Apa yang masalah dengan Anthony Loke? Masalahnya rasuah, masalahnya rompakan dan sakau? Yang kamu orang tidak bangkit, tetapi bangkit suruh orang itu letak jawatan sebab apa?” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, perhatian sepatutnya diberikan kepada isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang lebih besar, selain menilai prestasi seseorang menteri berdasarkan pelaksanaan tugasnya.
“Apa masalah kerja dia? Kerja dia baik. Prestasi sebagai menteri sangat baik. Jadi sebab itu saya akan bincang dengan dia,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau menerima surat berkaitan perkara itu semalam, namun pada ketika itu perlu menghadiri urusan pengebumian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Loke sebelum ini menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 23 September lalu, Loke menegaskan keputusan untuk meletakkan jawatan itu kekal dan beliau akan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri selepas kembali dari China.
Keputusan Loke menawarkan peletakan jawatan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam Kerajaan MADANI.