RTM perhebat transformasi digital tarik bakat muda, lonjak imej negara

Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 September – Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini mempergiat langkah pemodenan dan transformasi digital bagi menarik minat bakat serta generasi muda untuk bekerjasama dalam melonjakkan imej negara di persada antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM telah melalui transformasi selama tiga tahun menerusi budaya kerja baharu.
  • Menghadapi cabaran dan kekangan kewangan, memerlukan persediaan mental serta fizikal tinggi daripada warga.
  • Kerjasama erat dengan Kementerian membolehkan tugasan kritikal dan liputan sukan diselesaikan dengan pantas.
  • Komited memartabatkan imej Malaysia, menjelaskan dasar kerajaan, menyokong industri kreatif serta menyediakan maklumat dan hiburan percuma.

Ketua Pengarah Penyiran, Datuk Ashwad Ismail berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan kewangan, RTM tetap bertekad melaksanakan pemodenan secara berfasa menerusi penerapan budaya kerja baharu.

“Ya, kita berusaha untuk berubah dan perubahan itu memerlukan masa, namun seluruh warga RTM telah melalui proses transformasi ini sepanjang tiga tahun lalu.”

“Kini, kita sedia melangkah lebih jauh menerusi pelbagai inovasi dan budaya kerja baharu demi menarik minat generasi muda berkhidmat bersama kerajaan serta melonjakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata beliau ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi disini hari ini.

Mengulas kesukaran dan cabaran yang dihadapi, beliau mengakui persekitaran semasa menuntut persediaan mental serta fizikal yang tinggi daripada seluruh warga jabatan.

Namun begitu, beliau memuji hubungan erat dan kerjasama di peringkat Kementerian Komunikasi dan RTM sendiri yang membolehkan sebarang tugasan kritikal diselesaikan dengan pantas, termasuk liputan pelbagai acara sukan untuk rakyat.

Menurut beliau, keupayaan RTM membuat keputusan drastik dalam tempoh yang singkat membolehkan pelbagai siaran langsung dapat direalisasikan demi memenuhi kehendak penonton.

Jelas beliau, RTM sentiasa komited membawa imej dan citra Malaysia menerusi pelbagai platform TV, radio serta digital bagi menjelaskan dasar kerajaan, memartabatkan industri kreatif tempatan, serta menyediakan informasi dan hiburan secara percuma kepada seluruh rakyat.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.