
MENTAKAB, 29 September – Sebanyak 49 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM86,700 dirampas dalam serbuan di sebuah premis stor di Jalan Bendera Mahkota, Taman Bukit Bendera, di sini, malam tadi.
- Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah premis stor.
- Pemeriksaan menemui kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api disimpan dalam stor tersebut.
- Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang disimpan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957; semua barang dan suspek diserahkan kepada BSJD IPD Temerloh.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Op Taring Charlie kira-kira pukul 8 malam itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
“Pemeriksaan di dalam premis berkenaan menemukan 49 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disimpan di dalam stor berkenaan.
“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang disimpan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah mangga kunci dan sebatang anak kunci dalam serbuan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, saringan awal ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mula menjalankan perniagaan mercun sejak 2020 dan mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki dari Triang, Bera.
“Mercun yang disimpan di premis berkenaan merupakan stok yang tidak habis dijual pada musim perayaan yang lalu,” katanya.
Katanya, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.