
KLUANG, 28 September – Keseimbangan antara kebajikan golongan pekerja dan kelangsungan majikan, menjadi antara pertimbangan utama kerajaan dalam mengambil kira sebarang cadangan pelarasan kenaikan gaji minimum.
- Kebimbangan tekanan kos operasi terhadap majikan, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana jika gaji minimum dinaikkan.
- Kerajaan mengambil kira segmentasi dan mekanisme pelaksanaan untuk menyeimbangkan sokongan kepada pekerja serta kelangsungan majikan.
- Pakar meramalkan pelarasan gaji dari RM1,700 ke RM2,000 berpotensi menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
- Fokus Belanjawan 2027 akan diperincikan Perdana Menteri pada 9 Oktober; orang ramai digalakkan menunggu pembentangan rasmi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keseimbangan itu penting terutamanya dalam memastikan pihak majikan tidak berdepan tekanan kos operasi khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana
(PMKS) susulan pelarasan kenaikan gaji minimum berkenaan.
“Kita (kerajaan) mengambil kira beberapa segmen dan juga mekanisme pelaksanaannya diimbangi antara untuk kita terus menyantuni warga kerja kita dan kelangsungan majikan terutama PMKS,” katanya.
Beliau mengulas mengenai pandangan pakar mengenai pelarasan gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000 yang dijangka memberi kesan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.
Ditanya mengenai fokus Belanjawan 2027, Akmal berkata perkara itu akan diperincikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober nanti pada sidang Parlimen.
“Sebaiknya tunggu pembentangan Datuk Seri Anwar pada pembentangan Belanjawan 2027 nanti,” ujarnya ringkas ketika ditemui di sini hari ini.