Lapan maut akibat banjir di Thailand

Banjir di sepanjang Jalan Phetchaburi, Bangkok/ AFP

BANGKOK, 28 September – Sekurang-kurangnya lapan orang maut akibat banjir di Thailand sejak 16 September lalu, namun tiada kematian dilaporkan di Bangkok yang mengisytiharkan bencana, susulan hujan lebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • DDPM lapor lima maut di Sa Kaeo, dua di Chanthaburi dan satu di Saraburi.
  • Lebih 500,000 isi rumah dan 1.7 juta penduduk terjejas di 27 wilayah akibat banjir.
  • Di Bangkok kira-kira 52,000 isi rumah terjejas, sekolah ditutup dan beberapa kawasan masih mengalami banjir walaupun paras air mula stabil.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM), lima kematian direkodkan di Sa Kaeo, dua di Chanthaburi dan satu di Saraburi.

Selain Bangkok, lebih 500,000 isi rumah membabitkan 1.7 juta penduduk di 27 wilayah terjejas akibat banjir.

Di Bangkok pula, kira-kira 52,000 isi rumah terjejas selepas hujan lebat selama hampir 48 jam menyebabkan paras air di terusan meningkat dan jalan raya dinaiki air.

DDPM memaklumkan paras air di Bangkok kini stabil, namun beberapa kawasan masih mengalami banjir.

Sekolah ditutup dan penduduk disaran bekerja dari rumah, menyebabkan keadaan jalan raya serta pengangkutan awam lengang pada Isnin.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Ekkapob Pianpises berkata, beberapa kawasan di Bangkok masih dilanda banjir.

“Sistem saliran membantu menurunkan paras air dan memudahkan pergerakan penduduk”, katanya.

Thailand kini memasuki kemuncak musim hujan pada September, namun beberapa penduduk menyifatkan keadaan tahun ini lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.