
NEW YORK, 27 September – Malaysia menggesa kuasa veto anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dimansuhkan, susulan kegagalan badan itu menangani beberapa krisis antarabangsa.
- Kuasa veto tidak patut melumpuhkan kehendak bersama negara anggota, terutama dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan.
- Penambahan anggota Majlis Keselamatan tidak mencukupi; perlu pembaharuan struktural dan penggunaan Resolusi GA 76/262 untuk kebertanggungjawaban veto.
- Malaysia menyokong gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan dan tindakan terhadap Israel; usaha sering dihalang veto.
- Malaysia mahu PBB diperbaiki, tidak akan meninggalkan multilateralisme, dan ingin pemulihan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap institusi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan adalah antara perkara paling kritikal yang perlu dilakukan kerana kuasa veto tidak seharusnya digunakan sehingga melumpuhkan kehendak bersama negara anggota, khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan.
“Berulang kali, kehendak bersama Perhimpunan ini disenyapkan oleh kuasa veto. Malaysia akan bercakap terus terang, kami sudah muak dengannya,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada debat umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini.
Malaysia sebelum ini konsisten menggesa gencatan senjata segera, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan dan tindakan terhadap Israel, selain menyokong keanggotaan penuh Palestin di PBB.
Namun, usaha berkenaan berdepan penggunaan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.
Datuk Seri Mohamad berkata, penambahan anggota Majlis Keselamatan sahaja tidak mencukupi untuk menangani kelemahan badan itu.
Sebaliknya, mekanisme sedia ada seperti Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/262 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap penggunaan kuasa veto.
Beliau berkata, masih ada ruang untuk memperbaiki sistem antarabangsa dan kebuntuan di Majlis Keselamatan tidak seharusnya melumpuhkan keseluruhan PBB.
Malaysia, katanya, tidak akan berpaling daripada PBB atau meninggalkan multilateralisme hanya kerana kelemahan sistem berkenaan.
Sebaliknya, Malaysia mahu institusi itu terus diperbaiki supaya kembali mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa.