
KANGAR, 26 September – Penganjuran Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 bukan sahaja menjadi medan mempamerkan koleksi berkualiti, malah berjaya mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan komuniti filateli serantau.
- Pameran tiga hari, 25 hingga 27 September 2026, di Dewan 2020, Kangar, menghimpunkan lebih 60 delegasi antarabangsa.
- Penyertaan daripada Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Bangladesh sebagai negara jemputan.
- Pameran mempamerkan lebih 325 bingkai setem, 98 koleksi bertanding dalam 29 kelas pertandingan pelbagai tema.
- Aktiviti pendidikan untuk pelajar termasuk sesi Filateli Talk dan Warisan Talk serta panduan penyimpanan dan penyediaan folio pertandingan.
Pameran tiga hari yang berlangsung dari 25 hingga 27 September 2026 di Dewan 2020, di sini turut menghimpunkan lebih 60 delegasi antarabangsa.
Presiden Persatuan Filateli Malaysia (PSM) Muhamed Salim Mohd Ali berkata, pameran itu membabitkan penyertaan dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam serta Bangladesh selaku negara jemputan.
Program berprestij ini mempamerkan lebih 325 bingkai setem dari enam negara terbabit, selain mempertandingkan sebanyak 98 koleksi setem pelbagai tema merangkumi 29 kelas pertandingan.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah filateli tradisional, sejarah pos, aerofilateli, setem hasil, filateli tematik, poskod bergambar dan filateli remaja.
Selain pameran koleksi bernilai tinggi, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan khas untuk pelajar sekolah, antaranya sesi Filateli Talk dan Warisan Talk.

Sesi berkenaan memberi pendedahan menyeluruh mengenai panduan asas memulakan hobi filateli, kaedah penyimpanan setem yang betul serta panduan menyediakan folio bagi tujuan pertandingan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Guru Cemerlang Sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong, Nurul Aida berkata, setem merupakan bahan bantu mengajar yang amat berharga dalam pembelajaran sejarah.
“Setem ini adalah satu bahan yang sangat bersejarah, contohnya setem Raja Perlis. Tajuk Raja Perlis ada dalam silibus pelajaran Tahun 5 bagi tajuk Sistem Beraja.
“Melalui setem ini, kita boleh mengajar murid bagaimana untuk mengenali sejarah serta mengenali raja-raja dengan lebih dekat,” katanya.
Pameran berprestij ini dianjurkan secara bersama oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PPSI), Perlis Tourism dan Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dengan kerjasama Pos Malaysia.