
KUALA LUMPUR, 26 September – Kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan pendidikan karakter dan disiplin bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dengan ketagihan teknologi.
- Didik anak mengenal bila dan bagaimana menggunakan teknologi, supaya mereka dapat mengawalnya dan tidak menjadi ketagihan.
- Pendidikan holistik perlu menekankan akhlak, karakter dan disiplin, bukan hanya pencapaian akademik.
- Ibu bapa, guru dan masyarakat mesti bekerjasama melalui kokurikulum dan bimbingan untuk lindungi generasi dari ancaman AI, deepfake dan berita palsu.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, anak-anak perlu dididik untuk memahami bila teknologi wajar digunakan selain mempunyai keupayaan mengawalnya, bukannya membiarkan teknologi menguasai kehidupan mereka.
“Jangan kita asyik menatal telefon bimbit sahaja. Kita perlu belajar, tahu bila nak guna dan tahu bagaimana kita nak kawal. Jangan benda itu kawal kita, benda itu jadi ketagihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pendidikan MADANI ‘Sehari Bersama Rakyat’ anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu di Kompleks Seri Bintang, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, di sini.
Menurut beliau, pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada proses pembelajaran di bilik darjah atau pencapaian akademik, sebaliknya perlu membentuk insan secara menyeluruh merangkumi aspek akhlak, karakter dan disiplin.
Perkara itu semakin penting apabila generasi muda kini berdepan perkembangan teknologi yang pesat, termasuk kemunculan AI, teknologi deepfake serta penyebaran berita palsu.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata aktiviti kokurikulum dan penglibatan murid dalam pelbagai bidang turut menjadi platform penting bagi membentuk karakter, disiplin serta mengembangkan potensi diri.
Beliau juga menekankan peranan penting guru dalam membimbing murid mengenal pasti potensi diri dan seterusnya mendorong mereka meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Kemajuan teknologi yang dinikmati masyarakat hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan ilmu dan pendidikan sejak dahulu, termasuk sumbangan tokoh ilmuwan Islam dalam bidang matematik dan perubatan,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa, guru dan masyarakat diseru berganding bahu memastikan anak-anak menerima pendidikan yang bukan sahaja membina ilmu, malah membentuk akhlak, disiplin dan keupayaan membuat pertimbangan yang baik.