
BANGKOK, 26 September – Pihak berkuasa Bangkok pada Sabtu mengisytiharkan bencana di kesemua 50 daerah di ibu negara Thailand selepas hujan berterusan menyebabkan banjir.
- Hujan lebat hampir 300 mm sejak Khamis, memenuhi terusan dan menenggelamkan jalan serta memasuki rumah dan restoran.
- Gabenor Chadchart kata kawasan timur paling terjejas dan hujan lebat dijangka berterusan.
- Pihak berkuasa sedang mengepam tetapi kebanyakan terusan sudah dipenuhi, menggesa penduduk pindahkan kereta ke tempat lebih tinggi.
- Pesakit terlantar yang bergantung peralatan perubatan dinasihatkan berpindah sementara ke hospital; peniaga terpaksa tutup kedai akibat air setinggi pinggang.
Pengisytiharan itu memberi kuasa kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan menangani keadaan berkenaan, selepas Gabenor Bangkok memaklumkan hampir 300 milimeter hujan direkodkan sejak Khamis.
Seorang peniaga, Somkid Pheuk-ngam, 67, yang tinggal berhampiran terusan di utara Bangkok berkata paras air sudah mencecah pinggangnya dan menyebabkan dia terpaksa menutup kedai selama dua hari.
“Kawasan itu memangnya kerap dilanda banjir dan kali ini lebih buruk berbanding banjir besar 2011,” katanya kepada AFP.
Hujan berterusan sejak petang Khamis lalu, menyebabkan jalan raya dinaiki air dan paras air terusan di Bangkok meningkat, selain air memasuki banyak rumah serta restoran berhampiran terusan.
Sementara itu, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata kawasan timur bandar paling terjejas dan memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang berusaha mengepam air keluar, namun kebanyakan terusan sudah dipenuhi air.
“Kawasan berisiko adalah mereka yang tinggal berhampiran terusan. Setiap terusan kini telah dipenuhi,” katanya menerusi media sosial.
Beliau turut menggesa penduduk untuk memindahkan kereta mereka ke tempat yang lebih tinggi serta menasihatkan pesakit terlantar yang bergantung kepada peralatan perubatan supaya berpindah sementara ke hospital.
Banjir besar yang melanda Thailand pada 2011 mengorbankan lebih 500 orang dan merosakkan jutaan kediaman.-AFP