China-AS setuju perkukuh hubungan strategik

Peng Liyuan (kiri), Xi Jinping, Donald Trump dan Melania Trump (kanan)/ REUTERS

WASHINGTON, 26 September – Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju untuk membina hubungan konstruktif yang berteraskan kestabilan strategik, berdasarkan prinsip saling menghormati, keadilan dan timbal balik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan negara Xi ke AS, kunjungan negara pertamanya dalam tempoh 11 tahun.
  • Kedua pihak mencapai hasil saling menguntungkan dalam ekonomi dan perdagangan yang dialu-alukan rakyat serta komuniti antarabangsa.
  • Xi sedia bekerjasama dengan Trump membuka lembaran baharu meskipun hubungan akan berdepan cabaran dan kesukaran.
  • Selepas pertemuan, mereka melawat Arkib Negara; Xi tekankan hormati perbezaan, cari persamaan, perluas kerjasama dan urus perbezaan.

Kesepakatan itu dicapai ketika kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan sambil minum teh di White House, yang turut dihadiri isteri masing-masing, Peng Liyuan dan Melania Trump.

Xi berkata lawatan berkenaan merupakan kunjungan negara pertamanya ke AS dalam tempoh 11 tahun.

Menurutnya, kedua-dua negara memperkukuh visi hubungan China-AS menerusi lawatan itu serta bersetuju membina hubungan konstruktif yang berteraskan kestabilan strategik, berdasarkan rasa hormat, keadilan dan timbal balik.

Kedua-dua pihak turut mencapai hasil yang saling menguntungkan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, yang menurut Xi akan dialu-alukan rakyat kedua-dua negara serta masyarakat antarabangsa.

Xi berkata masa depan hubungan China-AS adalah cerah dan mencerminkan perkembangan sejarah.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan menuju masa depan yang cerah lazimnya berliku dan pasti berdepan pelbagai kesukaran serta cabaran.

Xi berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Trump untuk membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan China-AS dengan keberanian serta rasa tanggungjawab terhadap sejarah.

Sementara itu, Trump menyifatkan lawatan negara Xi ke AS sebagai konstruktif dan amat berjaya.

Menurutnya, kedua-dua pihak mengadakan pertukaran pandangan secara mendalam mengenai hubungan China-AS serta isu antarabangsa dan serantau utama, sekali gus mencapai hasil positif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Trump berkata beliau berharap dapat mengekalkan hubungan rapat dengan Xi dan bersama-sama menerajui hubungan China-AS.

Selepas pertemuan itu, Xi dan Peng, diiringi Trump dan Melania, melawat Arkib Negara AS.

Mereka berjalan bersama ke dewan utama sebelum menerima taklimat mengenai Arkib Negara serta bahan pameran di situ.

Xi berkata arkib berkenaan menghimpunkan kebijaksanaan generasi terdahulu dan memberikan pandangan untuk masa depan.

Beliau berkata sepanjang 250 tahun lalu, rakyat AS berusaha merealisasikan Impian Amerika serta membangunkan sebuah negara makmur dan kehidupan yang lebih baik di benua Amerika Utara.

Dalam pada itu, katanya, rakyat China yang mewarisi tamadun China berusia 5,000 tahun terus mencatat pencapaian baharu dalam usaha merealisasikan impian China untuk kebangkitan semula bangsa China.

Xi mengakui China dan AS merupakan dua negara yang mempunyai sejarah dan budaya, sistem sosial serta laluan pembangunan yang berbeza.

Namun, katanya, rakyat kedua-dua negara berkongsi aspirasi yang sama untuk menikmati kehidupan lebih baik walaupun mempunyai perbezaan.

“Sekiranya kedua-dua negara mengiktiraf dan menghormati perbezaan, memperkukuh persefahaman serta saling belajar, mencari titik persamaan terbesar, memperluas bidang kerjasama dan mengurus perbezaan dengan baik, hubungan China-AS akan terus berkembang secara stabil dan berterusan,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.