9 landak raya dirampas, lelaki 54 tahun ditahan

Landak raya dirampas dalam serbuan Task Force Batalion 7 PGA di Kampung Paya Siput Batu 11, Jalan Karak, Lanchang

TEMERLOH, 24 September – Sembilan ekor landak raya dirampas dalam serbuan Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Paya Siput Batu 11, Jalan Karak, Lanchang, Temerloh, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan dalam serbuan oleh Task Force Batalion 7 PGA.
  • Beberapa ekor landak raya ditempatkan dalam lima sangkar; suspek gagal mengemukakan dokumen pemilikan hidupan liar.
  • Suspek mengaku menangkap sejak kira-kira tiga tahun untuk hobi dan menjual daging pada harga RM150 sekilogram; kes disiasat di bawah Akta 716.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan kira-kira pukul 1.00 tengah hari itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

Hasil pemeriksaan di kawasan luar rumah menemukan sembilan ekor landak raya atau Hystrix brachyura yang ditempatkan dalam lima sangkar, namun lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan hidupan liar terbabit.

Jelas beliau, lelaki itu mendakwa menangkap landak raya sejak kira-kira tiga tahun lalu menggunakan perangkap jenis jebak, untuk dipelihara sebagai hobi dan menjual dagingnya pada harga RM150 sekilogram jika menerima permintaan.

Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang.

Kesemua landak raya dan sangkar diserahkan kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta 716.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.