Datuk Mohd Zafir terus bertugas sebagai SUK N. Sembilan, berpandu arahan KSN

Datuk Mohd Zafir Ibrahim / Foto Fail BERNAMA

SEREMBAN, 23 September – Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim menegaskan beliau tetap menjalankan tugas rasminya seperti biasa, meskipun kerajaan negeri mengumumkan penggantungannya berkuat kuasa semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau mengesahkan belum menerima sebarang surat rasmi berkaitan penggantungan.
  • Arahan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dijadikan rujukan.
  • Sebagai penjawat awam Persekutuan ditempatkan di pentadbiran negeri, beliau tertakluk kepada arahan perkhidmatan awam negara.
  • Penasihat Undang Undang Negeri dan Peguam Negara menyatakan keputusan penggantungan adalah tidak sah.

Datuk Mohd Zafir mengesahkan, setakat ini beliau belum menerima sebarang surat rasmi berkaitan penggantungan tugas tersebut.

Jelas beliau, tindakan menjalankan tugas seperti biasa turut dibuat berpandukan arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Selaku penjawat awam Persekutuan yang ditempatkan di pentadbiran kerajaan negeri, beliau tertakluk dan akur kepada arahan yang dikeluarkan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam negara.

Malah, Datuk Mohd Zafir turut memaklumkan, berdasarkan pandangan yang beliau peroleh daripada Penasihat Undang-Undang Negeri serta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, keputusan penggantungan berkenaan adalah tidak sah.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sebulat suara menggantung tugas Datuk Mohd Zafir dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Susulan keputusan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK Negeri Sembilan sehingga penyandang baharu dinamakan oleh KSN.

Bagi urusan perundangan pula, peguam Fahmi Adilah dinamakan untuk menjalankan tugas memberi nasihat perundangan sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.