Permintaan sistem kerja fleksibel dijangka meningkat

Ahli Majlis Perundangan GIG dan Gaji Negara, Prof. Madya Dr Nurhidayah Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 September – Permintaan terhadap sistem kerja fleksibel di Malaysia dijangka terus meningkat selari dengan perubahan persekitaran pekerjaan masa kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Generasi muda lebih memilih kerja fleksibel; fleksibiliti meningkatkan mutu kerja dan memudahkan penjagaan anak.
  • Akta Pekerja Gig 2025 menyediakan perlindungan sosial lebih kukuh, namun keberkesanan masih perlu dinilai dari masa ke masa.
  • Kerjasama majikan, penyedia platform, pekerja, pengguna dan kerajaan penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang berjalan lancar.
  • Ekonomi gig berkembang sebagai sumber pendapatan bagi mereka yang menjaga OKU, ahli keluarga sakit dan pelajar; pekerja perlu mencarum pelan perlindungan.

Ahli Majlis Perundangan GIG dan Gaji Negara, Profesor Madya Dr Nurhidayah Abdullah berkata, golongan muda pada hari ini lebih cenderung memilih budaya kerja yang tidak terikat dengan waktu bekerja dan keperluan untuk berada di pejabat.

“Generasi masa kini lebih cenderung kepada persekitaran kerja yang bebas dan tidak terikat. Apabila diberi peluang berkerja secara fleksibel, mutu kerja mereka sebenarnya menjadi lebih baik.

“… kerana ia memberikan keselesaan dan ketenangan, terutamanya bagi mereka yang perlu menguruskan anak-anak kecil,” katanya kepada pemberita RTM di Angkasapuri, Kota Media.

Berkenaan aspek kebajikan dan hak pekerja dalam pelaksanaan sistem kerja fleksibel, Prof. Madya Dr. Nurhidayah berkata, pengenalan Akta Pekerja Gig 2025 yang dilancarkan Mac lalu memberi jaminan perlindungan sosial yang lebih kukuh daripada pihak kerajaan.

“Memandangkan akta ini baharu sahaja dikuatkuasakan tidak sampai enam bulan, keberkesanan serta kecekapannya masih memerlukan sedikit masa untuk dinilai secara menyeluruh.

“Justeru, kerjasama erat antara pihak majikan atau penyedia platform, pekerja, pengguna dan kerajaan amat penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang ini berjalan”, katanya.

Tambahnya, ekonomi gig dijangka terus berkembang kerana ia menjadi sumber pendapatan yang diperlukan oleh pelbagai golongan, antaranya mereka yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU), individu yang perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta pelajar yang memerlukan pendapatan tambahan.

Prof. Madya Dr. Nurhidayah turut mengingatkan agar para pekerja gig mempunyai kesedaran untuk mencarum dalam pelan perlindungan serta insurans bagi menjamin kestabilan dan keselamatan kewangan pada masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.