
NEW YORK, 22 September – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan bantuan di Yaman susulan konflik yang semakin buruk selepas pejuang Houthi menguasai kawasan pantai Laut Merah, menyebabkan lebih 120,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
- Hampir 700 orang terbunuh dan ribuan cedera susulan kemaraan Houthi.
- Lebih 18 juta penduduk menghadapi ketidakjaminan makanan akut.
- Sekitar 2.2 juta kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat makanan akut.
- Operasi WFP terjejas: pejabat diduduki, aset dirampas, kakitangan ditahan, dan bantuan dikurangkan akibat kekurangan dana.
Pemangku Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau berkata, kira-kira 60,000 orang telah menerima makanan panas dan bekalan makanan, manakala persediaan sedang dipertingkat bagi membantu ratusan ribu lagi penduduk yang terjejas.
Menurut PBB, hampir 700 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera susulan kemaraan Houthi.
Selain itu, ribuan penduduk melarikan diri menaiki bot merentasi Laut Merah ke Afrika.
Krisis itu berlaku ketika lebih 18 juta penduduk Yaman, kira-kira separuh daripada populasi negara itu, berdepan ketidakjaminan makanan akut.
Sekitar 2.2 juta kanak-kanak bawah lima tahun pula mengalami kekurangan zat makanan akut.
Skau berkata, kem penempatan penduduk yang dipindahkan sudah terlebih kapasiti dan kekurangan dana, dengan ramai tidak mendapat makanan mencukupi serta akses kepada penjagaan kesihatan.
Keadaan turut diburukkan oleh kebergantungan Yaman terhadap import makanan, dengan kira-kira 90 peratus bekalan makanan negara itu datang dari luar.
Gangguan operasi pelabuhan dan lapangan terbang juga menjejaskan lagi bekalan makanan.
Operasi WFP di kawasan utara yang dikuasai Houthi turut terjejas selepas pejabat PBB diduduki, aset dirampas dan puluhan kakitangan PBB ditahan.
Skau berkata, keadaan itu menyukarkan WFP menjalankan operasi bantuan, selain agensi berkenaan berdepan kekurangan dana dan terpaksa mengurangkan bantuan menyelamatkan nyawa.
Beliau berkata, isu pembiayaan akan dibawa dalam pertemuan dengan pemimpin dunia sempena Perhimpunan Agung PBB di New York bagi mendapatkan lebih banyak sokongan kewangan.
Konflik yang semakin memuncak turut menjejaskan perdagangan maritim dan menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global berikutan kedudukan strategik Yaman di laluan Laut Merah. – REUTERS