
NEW YORK, 21 September – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent menyifatkan pertemuan mengenai perdagangan dan kecerdasan buatan (AI) dengan pegawai China pada Ahad sebagai “sangat berjaya”, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak membincangkan usaha meningkatkan komunikasi berhubung ancaman AI.
- Perbincangan lapan jam membuka peluang persetujuan mengenai perdagangan dan AI sebelum sidang kemuncak antara pemimpin kedua-dua negara.
- AS mencadangkan mekanisme pemberitahuan dan dialog AI untuk menangani ancaman, dan kedua-dua pihak bersetuju mengadakan pertemuan susulan.
- Perbincangan turut meliputi pelanjutan gencatan perdagangan, garis panduan pembangunan AI, serta keselamatan bekalan magnet nadir bumi dan mineral kritikal.
“Kami baru sahaja mengadakan perbincangan yang sangat berjaya dengan pihak China,” kata Bessent kepada pemberita selepas pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng.
Perbincangan selama lapan jam yang turut disertai wakil perdagangan AS, Jamieson Greer itu membuka ruang kepada kemungkinan persetujuan mengenai perdagangan, AI serta isu-isu lain sebelum sidang kemuncak antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping dijadualkan bertemu pada Khamis di Washington.
Bessent berkata, AS mencadangkan mekanisme pemberitahuan antara kedua-dua negara bagi menangani insiden seperti ancaman keselamatan.
“Apa yang kami bincangkan ialah penubuhan satu mekanisme. Ia bakal dikenali sebagai dialog AI Amerika Syarikat-China,” katanya sambil menambah bawah kedua-dua negara telah bersetuju untuk bertemu lagi.
Bessent dan He turut mengadakan pertemuan empat mata ketika perbincangan yang berlangsung di ibu pejabat JPMorgan Chase, di New York.
Pegawai China, Li Chenggang, yang dinaikkan ke jawatan peringkat tertinggi sebagai wakil perdagangan antarabangsa tidak lama sebelum pertemuan tersebut, turut hadir.
Greer berkata, adalah amat penting untuk kedua-dua pihak dapat bekerjasama.
Kedua-dua pihak sedang berusaha meredakan ketegangan dalam isu perdagangan, teknologi dan kebimbangan strategik lain.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kemungkinan melanjutkan gencatan perdagangan serta mewujudkan garis panduan bagi pembangunan AI.
Pegawai AS turut berusaha memastikan bekalan magnet nadir bumi dan mineral kritikal terus mengalir, yang amat penting kepada pengeluar di negara itu.
Perbincangan di peringkat pegawai kerja mungkin diteruskan sehingga Isnin, menurut sumber yang mengetahui perkembangan rundingan itu kepada AFP sebelum ini.
Rundingan terdahulu menyaksikan China berjanji untuk membeli barangan pertanian dari Amerika Syarikat, dan pelaksanaan komitmen tersebut juga mungkin menjadi antara perkara yang diteliti. -AFP