Malaysia tunggu keputusan PBB berhubung pasukan pengaman ke Yaman

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 hari ini/ RTM

KOTA TINGGI, 20 September- Malaysia akan berpandukan keputusan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung sebarang cadangan penghantaran pasukan pengaman ke Yaman yang kini kembali berdepan konflik bersenjata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yaman mempunyai kerajaan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia; kawasan dikuasai Houthi sedang berkonflik dengan Arab Saudi.
  • Pasukan pendamai atau pengaman hanya akan dihantar setelah pihak berkonflik mencapai perdamaian.
  • Menghantar pasukan pengaman ketika perang masih berlaku berisiko tinggi dan boleh mengakibatkan korban nyawa.
  • Malaysia pernah menjalankan misi pengaman di Lubnan melalui Batalion MALBATT, tertakluk kepada mandat dan ketetapan antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan berkenaan tidak akan dibuat secara bersendirian, sebaliknya mengambil kira pendirian dan keputusan PBB.

Beliau berkata, sekiranya negara-negara yang terbabit konflik mencapai perdamaian dan PBB bersetuju dengan penghantaran pasukan pengaman, Malaysia akan mempertimbangkan perkara berkenaan.

“Yaman mempunyai kerajaan yang kita mempunyai hubungan diplomatik, selain kawasan yang dikuasai kumpulan Houthi yang sedang berkonflik dengan Arab Saudi.

“Apabila negara-negara yang berkonflik bersetuju untuk berdamai, barulah kita menghantar pasukan pendamai atau pasukan pengaman untuk memastikan syarat-syarat perdamaian dipatuhi semua pihak.

Bagaimanapun, katanya keadaan semasa di Yaman yang masih bergolak menjadikan penghantaran pasukan pengaman sebagai langkah berisiko tinggi.

“Dalam keadaan sekarang, peperangan masih berlaku. Kalau pasukan pengaman masuk ketika perang masih berlangsung, sudah tentu akan ada risiko korban jiwa dan raga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, hari ini.

Malaysia sebelum ini turut melaksanakan misi pengaman di bawah mandat PBB di Lubnan melalui Batalion Malaysia (MALBATT) dengan keputusan berkaitan penugasan tertakluk kepada mandat serta ketetapan PBB.

Sementara itu beliau yang Naib Presiden UMNO enggan mengulas lanjut mengenai tawaran peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata dirinya secara peribadi tidak mengetahui perkembangan lanjut mengenai perkara itu.

“Saya pun tidak tahu sama ada beliau mahu meletak jawatan atau menawarkan diri untuk meletak jawatan. (Tetapi) pada akhirnya, keputusan berhubung perkara itu masih bergantung kepada pihak berkenaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.