Riyadh diserang, kebakaran tercetus berhampiran lapangan terbang

Foto AFP

RIYADH, 20 September – Kebakaran tercetus di sebuah depoh bahan api berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh, selepas kumpulan Houthi di Yaman mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa sasaran di ibu negara Arab Saudi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap Houthi Yahya Saree mendakwa dua operasi dilancarkan, mensasarkan lokasi strategik di Riyadh dan kemudahan Aramco di Yanbu.
  • Arab Saudi mengeluarkan amaran serangan udara; penduduk dengar letupan dan FlightRadar24 laporkan gangguan besar di Lapangan Terbang King Khalid.
  • Konflik Yaman memuncak; Houthi perkuat kawalan pantai Laut Merah sementara serangan udara Saudi berterusan dan ramai penduduk dipindahkan.

Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat anggota bomba memadam kebakaran pada sebuah tangki bahan api yang mempunyai logo syarikat minyak Saudi Aramco.

Rakaman yang dikongsi dalam talian dan disahkan AFP turut menunjukkan kepulan asap hitam kelihatan di kawasan berhampiran bangunan lapangan terbang.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam kenyataan di Telegram mendakwa dua operasi ketenteraan dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Arab Saudi ke atas ibu negara Yaman, Sanaa.

Menurutnya, operasi pertama menyasarkan beberapa lokasi strategik di Riyadh, manakala operasi kedua menyasarkan kemudahan Aramco di Yanbu.

Arab Saudi sebelum itu mengeluarkan amaran serangan udara kepada penduduk Riyadh.

Beberapa jam kemudian, penduduk memaklumkan terdengar bunyi letupan di beberapa kawasan bandar, manakala laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 melaporkan gangguan besar di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid sebelum trafik udara kembali beroperasi seperti biasa.

Serangan itu berlaku ketika Houthi melancarkan serangan besar-besaran di Yaman, termasuk menguasai sebahagian besar kawasan di sepanjang pantai Laut Merah.

Riyadh pula melancarkan puluhan serangan udara ke atas kawasan yang dikuasai Houthi, namun kumpulan itu terus mengukuhkan kedudukan di wilayah berkenaan.

Arab Saudi turut menuduh Houthi menyasarkan Mekah pada Rabu, namun dakwaan itu dinafikan kumpulan berkenaan.

Konflik Yaman tercetus pada 2014 selepas Houthi menguasai Sanaa dan beberapa wilayah lain, sebelum Arab Saudi mengetuai campur tangan ketenteraan pada Mac 2015.

Pertempuran yang kembali memuncak sejak Julai lalu menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyebabkan lebih 112,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala hampir 3,000 lagi melarikan diri merentasi laut ke Djibouti.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.