Anthony Loke tawar diri letak jawatan Menteri Pengangkutan

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (tengah) pada sidang media di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 September – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti itu terhadap keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
  • Keputusan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP selama tiga jam.
  • Peletakan jawatan hanya melibatkan beliau; menteri DAP lain kekal demi kestabilan pentadbiran.

Loke berkata, surat peletakan jawatan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selama tiga jam hari ini bagi membincangkan pendirian parti berhubung perkembangan berkenaan.

“Saya mengemukakan cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Loke berkata, keputusan itu hanya melibatkan kedudukannya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara.

Beliau berkata, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dipertikaikan, namun parti itu mempunyai pendirian berhubung pelaksanaan tahanan rumah bagi kesalahan jenayah rasuah.

Menurutnya, DAP sejak sekian lama berpegang kepada prinsip menegakkan keadilan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Loke berkata, keputusan untuk beliau sahaja meninggalkan Kabinet dibuat bagi mengelakkan tindakan seluruh barisan pimpinan DAP dalam kerajaan menjejaskan kestabilan pentadbiran.

“Kita tidak mahu memberi ruang atau peluru kepada lawan politik untuk mencapai matlamat mereka sehingga menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, demi memastikan kelangsungan pentadbiran, pimpinan DAP yang lain akan terus kekal menjalankan amanah mereka,” katanya.

Beliau berkata, DAP menyedari peletakan jawatan keseluruhan wakil parti dalam kerajaan berpotensi memberi kesan kepada kestabilan politik dan sokongan terhadap pentadbiran semasa.

Dalam pada itu, Loke memberi jaminan bahawa operasi Kementerian Pengangkutan tidak akan terjejas susulan keputusannya menawarkan peletakan jawatan.

Katanya, projek dan perancangan yang sedang dilaksanakan kementerian akan diteruskan seperti biasa kerana jentera pentadbiran kementerian tetap berfungsi.

Beliau bagaimanapun berkata beberapa urusan kerja dan perkara tertunggak di kementerian perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum peletakan jawatan itu dimuktamadkan bersama Perdana Menteri.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat.

Loke mula memegang jawatan Menteri Pengangkutan dalam Kerajaan Perpaduan pada 3 Dis 2022 dan merupakan Setiausaha Agung DAP yang keenam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.