PDRM Fun Run 2026 semarak sambutan Hari Polis Ke-219

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 18 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan menganjurkan PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Nov ini sempena sambutan Hari Polis Ke-219.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuan program mengeratkan hubungan polis dan masyarakat serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
  • Larian 5 km dan 10 km, berlangsung pagi hingga tengah hari, terbuka kepada semua umur tanpa had.
  • Yuran RM55 (5 km) dan RM65 (10 km); setiap peserta terima kit larian, medal, nombor bib, sijil digital, snek ringan.
  • Acara sampingan termasuk pameran aset, senamrobik, persembahan unit, reruai jualan, dan hadiah cabutan bertuah; daftar melalui HEYJOM.

Pengarah JSJ Datuk M. Kumar berkata program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyertai aktiviti sihat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara PDRM dengan masyarakat,” katanya yang ditemui sempena pelancaran program itu di Bukit Aman, hari ini.

Larian berkenaan berlangsung dari 6.30 pagi hingga 1.00 tengah hari dengan menawarkan dua kategori iaitu 5 kilometer dan 10 kilometer, yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa had umur.

Yuran penyertaan ditetapkan RM55 bagi kategori 5 kilometer dan RM65 bagi kategori 10 kilometer.

Setiap peserta akan menerima kit larian yang mengandungi baju, medal penamat, nombor bib, sijil penyertaan digital serta snek ringan.

Selain acara larian, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran aset PDRM, menyertai aktiviti senamrobik, menikmati persembahan unit-unit PDRM serta mengunjungi pelbagai reruai pameran dan jualan.

Sebanyak 219 hadiah cabutan bertuah turut ditawarkan sebagai tarikan utama, selaras dengan sambutan ulang tahun ke-219 Hari Polis.

Pendaftaran kini dibuka secara dalam talian menerusi platform HEYJOM.

Orang ramai digalakkan menyertai program berkenaan sebagai usaha memupuk gaya hidup sihat selain memperkukuh semangat kebersamaan antara PDRM dengan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.