
KUALA LUMPUR, 18 September – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) diiktiraf sebagai antara pasukan penyelamat terbaik di peringkat antarabangsa.
- SMART menerima pensijilan tertinggi Heavy USAR daripada INSARAG.
- Sijil INSARAG memberi kepercayaan untuk SMART menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Nepal.
- Pensijilan semula 21 hingga 24 September akan menilai 173 elemen termasuk kualiti, keselamatan, SOP dan kesiapsiagaan.
- Kerajaan memperuntuk RM14 juta untuk persiapan pensijilan semula sebagai bukti komitmen berterusan.
Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar berkata, SMART merupakan salah satu pasukan yang mendapat pensijilan tertinggi iaitu ‘Heavy Urban Search and Rescue’ (Heavy USAR) daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).
“Pasukan SMART merupakan antara pasukan yang diberi pensijilan ‘Heavy USAR Team’ dan kita adalah antara yang terbaik di peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh terbaharu, kehadiran kita diterima oleh pihak Nepal walaupun pada asalnya mereka tidak memerlukan bantuan luar. Namun, disebabkan sijil INSARAG yang dimiliki oleh SMART, kita diberikan kepercayaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam kejadian di Nepal baru-baru ini,” katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan SMART bakal menjalani proses pensijilan semula bermula 21 hingga 24 September ini, yang akan menilai 173 elemen merangkumi aspek kualiti, kecekapan, keselamatan, prosedur operasi standard, dokumentasi, serta kesiapsiagaan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan SMART berikutan persediaan rapi yang telah dilakukan sejak dua tahun lalu.
“Kita telah menghantar pasukan SMART menyertai pelbagai aktiviti di dalam dan luar negara bagi meningkatkan kemahiran serta kepakaran mereka dalam kesemua 173 elemen yang ditetapkan dalam senarai semak INSARAG.
“Daripada segi kesiapsiagaan, insya-Allah pasukan kita amat bersedia. Kita yakin dengan kebolehan, ketersediaan, kemahiran, serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan SMART NADMA,” tambah beliau.
Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi tujuan persediaan pensijilan semula itu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi pengurusan dan penanganan bencana.