
SHAH ALAM, 18 September – Cuaca panas yang meningkatkan kadar kematian ayam penelur dikenal pasti antara faktor yang menjejaskan bekalan telur di pasaran, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga ketika ini.
- Pengurangan bekalan menyebabkan ketidakseimbangan pasaran dan memberi tekanan kepada harga.
- KPDN memantau bekalan serta harga; kenaikan harga ketika ini masih terkawal.
- Tiada kartel dikenal pasti; kenaikan harga dilihat munasabah dan berasas.
- Program Pasar Patuh melibatkan 75 pasar dan 7,130 peniaga, menekankan pameran harga, alat timbang disahkan serta urus niaga telus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pengurangan bekalan ketika permintaan kekal menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam pasaran dan memberi tekanan kepada harga.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan harga telur ketika ini masih terkawal dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memantau bekalan serta harga di pasaran.
“Apabila bekalan turun sedangkan permintaan masih sama, sudah tentu harga akan meningkat. Setakat ini tidak ada kartel yang dikenal pasti.
Kenaikan itu masih dilihat munasabah dan mempunyai sebab,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Pasar Patuh 2026 Peringkat Negeri Selangor, hari ini.
Datuk Dr Fuziah berkata, KPDN mempunyai kuasa mendapatkan maklumat kos sepanjang rantaian bekalan, termasuk kos pengeluaran, bahan mentah dan logistik, bagi menilai sama ada kenaikan harga runcit adalah munasabah.
Katanya, KPDN akan membuka siasatan sekiranya menerima aduan berkaitan kenaikan harga dan mendapatkan maklumat daripada pengeluar serta pemain industri sepanjang rantaian bekalan.
Sementara itu, beliau berkata, Program Pasar Patuh kini melibatkan 75 pasar dan 7,130 peniaga di seluruh negara, termasuk tujuh pasar di Selangor yang membabitkan 321 peniaga.
Program berkenaan memberi penekanan terhadap pematuhan peniaga, antaranya mempamerkan harga dengan jelas, memastikan alat timbang dan sukat ditentusahkan serta mewujudkan urus niaga yang telus bagi melindungi hak pengguna.