Kerajaan N. Sembilan tidak akan warta proklamasi 19 April 2026 – SUK Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1) di sini malam tadi. Lebih 200 anggota NGO adat Negeri Sembilan turut hadir bagi menyambut ketibaan baginda/ Bernama

SEREMBAN, 18 September- Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar bertarikh 19 April 2026, menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AGC menyatakan proklamasi 19 April tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
  • Menteri Besar dan anggota MMKN tidak mempunyai kuasa unilateral di bawah UUTKNS 1959 untuk menamatkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
  • DKU menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.

Dalam kenyataan malam tadi, Pejabat SUK Negeri Sembilan memaklumkan bahawa langkah itu selaras dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi tersebut tidak sah, sekali gus menjadikan tindakan pewartaan sebagai tidak berperlembagaan.

Menurut kenyataan itu, dari segi perundangan kerajaan negeri akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.

“Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka,” menurut kenyataan itu.

Pejabat SUK Negeri Sembilan merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim kepada media pada Khamis berkaitan arahan untuk mewartakan proklamasi berkenaan yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan.

“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan bagi memastikan bahawa apa jua tindakan yang perlu diambil akan dilaksanakan mengikut undang-undang semasa dan UUTKNS 1959,” menurut kenyataan Pejabat SUK Negeri Sembilan.

AGC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lepas tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

AGC turut memaklumkan Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.  -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.