
KUCHING, 17 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pemberian Khas untuk Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini, berkuat kuasa tahun ini.
- Pemberian Khas untuk Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun ini.
- Kadar tersebut sama seperti yang diumumkan untuk Sabah.
- Pengumuman menekankan semangat setiakawan, persahabatan dan pelaksanaan melalui projek, program serta kemudahan rakyat.
“Kadar berkenaan sama seperti yang diumumkan untuk Sabah, sebelum ini.
“Kerajaan Persekutuan akan terus berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi memuktamadkan formula Pemberian Khas Tahunan.
“Atas semangat setiakawan, persahabatan serta semangat Malaysia, saya umumkan RM1.5 bilion, itu rahsia persahabatan dan rundingan yang baik.
“Tidak ada masalah tidak boleh dilerai dan diselesaikan. Saya bersyukur kerana semangat ini telah dapat kita melaksanakannya melalui projek, program dan kemudahan untuk rakyat,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK), di sini, malam tadi.
Tetamu kehormat pada sambutan itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.