
KUALA LUMPUR, 16 September – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal melantik pakar dari luar negara sebagai Pengarah Sains Sukan dan Perubatan bagi memperkukuh struktur prestasi tinggi skuad badminton kebangsaan.
- Calon sudah disenaraipendek dan ditawarkan jawatan; belum mengesah penerimaan, dicadangkan mula bertugas pada 1 Januari tahun hadapan.
- Pelantikan tidak menjejaskan peranan Institut Sukan Negara terutama program Road to Gold; BAM mahu sokongan sains sukan dan perubatan lebih menyeluruh.
- BAM anggap pengarah sepenuh masa perlu selaras dengan persaingan lebih tinggi dan aspirasi untuk melahirkan lebih ramai juara dunia.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, calon berkenaan sudah disenarai pendek dan tawaran telah dibuat, namun BAM masih menunggu keputusan daripada individu terbabit.
“Kita sudah senarai pendek dan kita telah membuat tawaran kepada ‘Sports Science and Medicine Director’ ini, namun dia belum cakap ‘yes’ lagi. Jadi kita tunggu dahulu, tetapi kita cadangkan dia bermula tugas pada 1 Januari tahun hadapan ” Katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, baru-baru ini.
Beliau menyatakan pelantikan itu tidak akan menjejaskan peranan Institut Sukan Negara (ISN), khususnya dalam program ‘Road to Gold'(RTG), sebaliknya BAM mahu menyediakan sokongan sains sukan dan perubatan secara lebih menyeluruh di peringkat badan induk.
Beliau berkata, keperluan terhadap pengarah sepenuh masa itu selaras dengan tahap persaingan yang semakin tinggi serta aspirasi BAM untuk melahirkan lebih ramai juara dunia.
“ISN akan teruskan, terutama dalam program RTG kita. Tapi kita rasa berdasarkan tahap pertandingan, standard yang kita ada dan pemain yang kita ada hari ini, kita perlukan pengarah sepenuh masa bagi sains sukan dan perubatan.
“Ini selari dengan aspirasi kita untuk melahirkan lebih ramai juara dunia. Apa yang ada kita teruskan, cuma kita rasa kita perlukan lebih daripada apa yang kita dapat hari ini,” Jelasnya.
BAM bagaimanapun belum mendedahkan identiti calon berkenaan kerana individu terbabit masih belum menerima tawaran pelantikan.