
ISLAMABAD, 16 September – Meta pada Selasa memaklumkan bahawa syarikat itu akan mula melaporkan kes berkaitan keselamatan kanak-kanak secara langsung kepada pihak berkuasa India, sambil menegaskan semula komitmennya untuk menangani eksploitasi kanak-kanak dalam talian dan jenayah berkaitan, lapor Anadolu Ajansi memetik media kerajaan.
- Meta tekankan melindungi kanak-kanak adalah keutamaan dan komited bekerjasama dengan kerajaan untuk pertanggungjawaban pelaku.
- Langkah menyusuli siasatan BBC Eye yang menemui iklan berbayar promosi bahan penderaan seksual kanak-kanak di platform Meta.
- Kerajaan India arahkan Meta hapus semua iklan dan kandungan yang mempromosi penderaan seksual kanak-kanak.
- Suruhanjaya perlindungan kanak-kanak panggil pengurusan Meta India; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia arahkan polis New Delhi menyiasat.
“Melindungi kanak-kanak di platform kami merupakan keutamaan dan kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pelaku jenayah ini dipertanggungjawabkan,” menurut jurucakap Meta seperti dipetik Doordarshan Radio yang dikendalikan kerajaan.
“Bagi memperkukuh usaha bersama dalam memerangi ancaman ini, Meta kini akan melaporkan perkara berkaitan keselamatan kanak-kanak secara langsung kepada portal Jenayah Siber yang dikendalikan Pusat Penyelarasan Jenayah Siber India,” kata jurucakap itu.
Langkah itu dibuat ketika New Delhi terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kebertanggungjawaban platform digital dan memastikan penyedia perkhidmatan dalam talian mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah penyebaran kandungan berbahaya, khususnya yang menjejaskan kanak-kanak.
Ia turut menyusuli siasatan BBC Eye mengenai iklan berbayar yang mempromosikan bahan penderaan seksual kanak-kanak di platform Meta.
Siasatan yang diterbitkan pada Julai itu mendapati Instagram milik Meta menyiarkan iklan berbayar yang mempromosikan bahan berkenaan di India.
Penemuan itu mendorong kerajaan India mengarahkan Meta menghapuskan semua iklan dan kandungan yang mempromosikan bahan penderaan kanak-kanak daripada platformnya.
Meta yang mengendalikan beberapa platform media sosial utama termasuk WhatsApp, Facebook, dan Instagram berkata langkah itu sebahagian daripada usaha memperkukuh penyelarasan dengan pihak berkuasa India dalam menangani isu berkaitan keselamatan kanak-kanak dan jenayah dalam talian.
Suruhanjaya Kebangsaan bagi Perlindungan Hak Kanak-Kanak minggu lepas memanggil Pengarah Urusan dan ketua Meta India berhubung siasatan terhadap dakwaan iklan berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan sebelum ini mengarahkan polis New Delhi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan bahawa iklan berbayar di Instagram mempromosikan bahan penderaan seksual kanak-kanak. – BERNAMA-ANADOLU