
KUALA LUMPUR,15 September – Seramai 173 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, bay gudang dan fasiliti pengujian enjin kapal terbang di Sepang, Selangor pada Selasa.
- Warga asing yang ditahan terdiri daripada 147 warga Bangladesh, 17 Indonesia dan 9 Pakistan.
- Majikan menggunakan PLKS syarikat lain dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
- Operasi hasil aduan dan risikan, 88 pegawai digerakkan, warga asing dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan memaklumkan, warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 40 tahun yang kesemuanya lelaki terdiri daripada 147 warga Bangladesh, Indonesia (17) dan Pakistan (9).
“Modus operandi mereka dikesan apabila majikan menggajikan warga asing ini di pusat pembinaan tersebut dengan menggunakan PLKS syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai tindakan mengaburi mata pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi itu seramai 261 individu diperiksa terdiri daripada 217 warga asing dan 44 warganegara tempatan, termasuk pekerja yang diambil bekerja syarikat-syarikat subkontraktor yang terlibat dalam projek berkenaan.
Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, lima saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
Operasi berkenaan dilakukan menerusi Bahagian Penguatkuasaan JIM susulan aduan awam dan risikan selama seminggu, sebelum 88 pegawai pelbagai pangkat digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan.
JIM menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan imigresen akan terus dilaksanakan merentasi semua sektor termasuk industri pembinaan, logistik serta fasiliti sokongan industri penerbangan.
Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan atau pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.