
KUALA LUMPUR, 15 September – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India memberi manfaat besar, khususnya dalam memperkukuh sektor ekonomi negara.
- Pertemuan dengan pemimpin India membuka peluang meluaskan eksport Malaysia ke pasaran India, termasuk sektor minyak sawit, oleokimia, makanan halal dan peralatan perubatan.
- Perbincangan melibatkan negeri Keralam dan lain-lain membuka peluang teknologi perkilangan, farmaseutikal, kewangan, pembuatan, penjagaan kesihatan dan elektronik.
- Pendidikan tinggi boleh dijadikan projek ekonomi dua hala termasuk ijazah bersama, kampus cawangan, TVET, kecerdasan buatan dan kejuruteraan semikonduktor.
- Perlu mewujudkan mekanisme pelaksanaan diplomasi yang kukuh dan dipengerusikan di peringkat tinggi dengan sasaran jelas untuk merealisasikan hasil kerjasama.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pertemuan Perdana Menteri bersama rakan sejawatannya Narendra Modi, Ketua Menteri Keralam V. D. Satheesan dan Gabenor Rajendra Vishwanath Arlekar di Calicut membuka ruang lebih luas untuk Malaysia meningkatkan eksport pelbagai barangan ke pasaran India.
Ia meliputi sektor minyak sawit, oleokimia, makanan halal, peralatan perubatan, industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor.
“Jangan kita abaikan Keralam dan negeri-negeri lain di India kerana terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh dikongsi bersama, khususnya dalam teknologi perkilangan, farmaseutikal, kewangan, pembuatan, penjagaan kesihatan, elektronik dan teknologi.
“Kita juga boleh menjadikan pendidikan tinggi sebagai satu projek ekonomi dua hala. Ini amat menarik untuk Malaysia kerana India mempunyai populasi muda dan permintaan terhadap pendidikan tinggi yang sangat besar, yang boleh ditawarkan Malaysia.
“Kerjasama universiti antara Malaysia dan India juga boleh menjadi asas kepada pelbagai bidang, termasuk program ijazah bersama, kampus cawangan, pendidikan kecerdasan buatan, kejuruteraan, perubatan, kejuruteraan semikonduktor, kewangan Islam, industri halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pusat penyelidikan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Kerjasama berkenaan sekali gus mampu memperkukuh perkongsian industri stragetik antara kedua-dua negara, termasuk dalam aspek rantaian bekalan bersepadu serta pembangunan bakat.
Bagaimanapun, satu mekanisme pelaksanaan diplomasi yang kukuh dan berkesan antara Malaysia dan India perlu diwujudkan.
Mekanisme itu wajar dipengerusikan di peringkat tinggi, selain menetapkan sasaran yang lebih jelas bagi memastikan hasil kerjasama dapat direalisasikan.