
KUALA LUMPUR, 15 September – Asia-Pasifik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan penerbangan global dalam tempoh dua dekad akan datang, dengan trafik penumpang di rantau itu dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 5.1 peratus, mengatasi purata global 3.9 peratus.
- Asia-Pasifik perlu 19,120 pesawat penumpang baharu, mewakili hampir 45% permintaan global dua dekad akan datang.
- Satu pertiga pesawat baharu untuk penggantian, selebihnya memenuhi pertumbuhan kapasiti disokong asas ekonomi kukuh dan urbanisasi pesat.
- Ketersambungan meningkat melalui lapangan terbang baharu dan pesawat lorong tunggal jarak jauh seperti A321XLR dan A220, hubungkan bandar sekunder terus ke ekonomi global.
Ramalan Pasaran Global Airbus (GMF) 2026-2045 menyebut, angka trafik penumpang di Asia-Pasifik dijangka meningkat lebih dua kali ganda sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus memerlukan 19,120 pesawat penumpang baharu.
“Jumlah itu mewakili 45 peratus daripada keseluruhan permintaan global sebanyak 42,060 pesawat baharu dalam tempoh 20 tahun.
”Kira-kira satu pertiga daripada 19,120 pesawat baharu diperlukan untuk menggantikan pesawat sedia ada, manakala selebihnya bagi memenuhi pertumbuhan kapasiti.
”Pertumbuhan itu disokong asas ekonomi yang kukuh, dengan populasi golongan berpendapatan sederhana di Asia-Pasifik dijangka mencecah tiga bilion individu menjelang 2045, selain perkembangan pesat urbanisasi yang menjadikan perjalanan udara semakin penting kepada aktiviti sosial dan ekonomi,” jelas pengeluar pesawat itu dalam kenyataan.
Mengenai peningkatan ketersambungan, jelas Airbus ia didorong pembangunan strategik infrastruktur lapangan terbang baharu serta penggunaan pesawat lorong tunggal berjarak jauh seperti A321XLR dan A220, yang membuka laluan antara bandar tanpa bergantung sepenuhnya kepada hab penerbangan utama.
Presiden Airbus Asia-Pasifik Anand Stanley berkata rangkaian penerbangan di rantau itu sedang berkembang dan mengalami perubahan dari segi kaedah menghubungkan bandar-bandar.
“Di samping pengembangan berterusan rangkaian penerbangan jarak jauh, syarikat penerbangan di rantau ini semakin beralih daripada model tradisional dengan menghubungkan bandar-bandar sekunder secara terus kepada ekonomi global.
“Dengan memanfaatkan teknologi pesawat generasi terkini, syarikat penerbangan di rantau ini sedang membentuk semula landskap hubungan udara dan memacu kemakmuran ekonomi jangka panjang rantau ini,” katanya menerusi kenyataan sama.