Tujuh penyelidikan NEXT-D 2026 jadi rujukan bidang AI

Majlis perasmian penutupan NEXT-D 2026 disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan). Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) / Foto FCoEE

MEDAN, 15 September – Tujuh daripada 36 kertas kerja yang dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Teknologi Digital Generasi Baharu 2026 (NEXT-D 2026) berpotensi menjadi rujukan kepada penyelidik, ahli akademik dan industri dalam penerokaan bidang kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kertas kerja dipilih berdasarkan impak AI dan akan dimuatkan dalam jurnal berindeks terkemuka seperti SCOPUS, WoS dan MyCite.
  • Semua kertas kerja dinilai oleh pakar rujuk dari seluruh Asia, menjamin kualiti dan pengiktirafan sebelum penerbitan.
  • Persidangan NEXT-D memupuk rangkaian akademik, perbincangan inovasi digital, dan memperkukuh kerjasama Malaysia-Indonesia dalam penyelidikan teknologi.

Hasil penyelidikan berkenaan dipilih berdasarkan impaknya dalam pelbagai bidang berkaitan AI sebelum dimuatkan dalam jurnal berindeks terkemuka termasuk SCOPUS, Web of Science (WoS) dan MyCite.

Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, semua kertas kerja yang dikemukakan terlebih dahulu melalui proses penilaian oleh pakar rujuk dari seluruh Asia.

Menurut beliau, proses itu penting bagi mendapatkan perakuan dan pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan sebelum dimuatkan ke dalam pangkalan data berkaitan.

“Insya-Allah, ini kertas kerja yang boleh dirujuk oleh pakar-pakar, ahli akademik atau pihak industri dalam bidang AI dan akan dikembangkan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan NEXT-D 2026, di sini.

NEXT-D 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 September di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini, menghimpunkan kira-kira 200 penyelidik, pakar industri dan pelajar pascasiswazah.

Persidangan itu menjadi platform membincangkan perkembangan serta inovasi terkini dalam teknologi digital, selain memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama rentas sempadan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

Penganjuran tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama khususnya dalam bidang teknologi digital, penyelidikan dan inovasi.

Majlis perasmian penutupan pada Isnin disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.