
TANJONG MALIM, 15 September – Atlet daripada beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia berjaya meraih tiga pingat perak pada Regata Terbuka Shenyang Ke-9 di China.
- Pingat diperoleh dalam kategori Mixed 8+ 1000m, M4X 1000m dan Mixed 8+ 4500m.
- Kontinjen dibarisi wakil UPSI, UTeM, UTHM dan UTM.
- Pengalaman pertama bertanding di luar negara dianggap bermakna dan diharap jadi inspirasi kepada mahasiswa sukan.
Tiga pingat berkenaan diperoleh menerusi kategori Mixed 8+ 1000m, M4X 1000m dan Mixed 8+ 4500m pada kejohanan yang berlangsung di Shenyang Hun River City Center dari 10 hingga 14 September lalu.
Kontinjen negara dibarisi wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dua wakil UPSI, Amin Syahmi Azahar dan Nur Insyirah Ishak, masing-masing merupakan pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBL) universiti berkenaan.
Amin Syahmi menyifatkan penyertaan itu sebagai pengalaman amat bermakna kerana ia merupakan pertama kali mereka beraksi di luar negara mewakili Malaysia dalam sukan rowing.
“Pasukan pada awalnya gementar berdepan peserta daripada beberapa universiti luar negara termasuk University of Otago, New Zealand, University of Beijing.
“Namun, perkara tersebut hanya perasaan semata-mata dan kami percaya pada keupayaan kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pencapaian berkenaan membuktikan kemampuan atlet universiti untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada warga UPSI dan IPTA lain, khususnya mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan untuk terus mengembangkan potensi dan mengharumkan nama universiti serta negara.