3,000 peserta meriahkan Visit Malaysia Truly Asia Run 2026

Foto Jabatan Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 15 September Kira-kira 3,000 peserta menyertai Visit Malaysia Truly Asia Run 2026, program larian sejauh tujuh kilometer yang dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pada 13 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan pilihan.
  • Larian di Dataran DBKL meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat menelusuri laluan sekitar ibu negara.
  • Acara disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan dan disokong MOTAC serta pegawai kanan Tourism Malaysia dan DBKL.

Program anjuran Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, selain mempromosikan Malaysia khususnya Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Presidennya, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, larian yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang menyusuri laluan sekitar ibu negara.

“Penganjuran program ini diharap dapat terus menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, selain membantu memperkenalkan suasana dan tarikan ibu negara kepada pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Acara berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dengan kehadiran Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Shahuddin Abu Sohot.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Wizani Rosmin serta Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.