
KERALAM, 14 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan PAS yang didakwa cuba ‘menangguk di air keruh’ berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- PAS sepatutnya memahami peraturan Lembaga Pengampunan sebelum membuat sebarang dakwaan.
- Perdana Menteri hanya memberikan pandangan berdasarkan hukum, nasihat Peguam Negara dan peraturan.
- Keputusan akhir terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
- Kerajaan mesti berpegang kepada prinsip negara hukum, Perlembagaan dan tatakelola; semua faktor perlu diambil kira.
Datuk Seri Anwar berkata, PAS sepatutnya memahami peraturan dan proses Lembaga Pengampunan sebelum membuat sebarang dakwaan mengenai campur tangan pihak tertentu.
Beliau berkata, Perdana Menteri hanya memberikan pandangan berdasarkan hukum, nasihat Peguam Negara dan peraturan yang ditetapkan, manakala keputusan akhir adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong menerusi mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“PAS sebenarnya cuba menangguk di air keruh. Parti itu sepatutnya memahami peraturan yang ditetapkan. Perdana Menteri, siapa pun yang memegang jawatan itu, perlu memberikan pandangan berdasarkan hukum, nasihat Peguam Negara dan peraturan, dan itulah yang saya lakukan.
“Namun, kita juga tahu perkara ini merupakan bidang kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya Seri Paduka Baginda perlu mengambil kira semua faktor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama petugas media Malaysia di sini hari ini.
Semua faktor perlu diambil kira dalam isu berkenaan dan ia tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu peribadi membabitkan Datuk Seri Najib.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga perlu berpegang kepada prinsip negara hukum, Perlembagaan dan tatakelola dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Saya tidak pernah mengambil sikap prasangka atau kebencian. Saya tahu kalau jalan mudah apa, jalan susah apa, tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul mengikut lunas hukum dan apa yang kita anggap penting dari segi semangat, tatakelola dan hukum dalam negara kita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata masih terdapat kes berkaitan rasuah yang sedang berjalan dan perkara itu turut menjadi perhatian dunia.
Pendirian Seri Paduka Baginda yang menekankan keperluan lebih tegas dalam isu membabitkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan FELDA juga perlu diambil kira.
Terdahulu media melaporkan, PAS menuntut penjelasan daripada kerajaan berhubung penangguhan permohonan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 pada Jumaat lalu.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara itu membabitkan kepentingan awam dan wajar diberikan penjelasan segera.